Lensa

Berbuka puasa konsep berkelah di Putrajaya

- Diterbit 12 Mac 2025 10:00 AM MYT

SYUQQREE DAIN
Foto: FARIS AZMI

DATARAN Putrajaya di Presint 3 menjadi ‘port’ wajib buat mereka yang ingin merasai pengalaman berbuka puasa yang berbeza. Dengan suasana santai sambil disulami angin sepoi-sepoi bahasa, pengunjung yang hadir tidak melepaskan peluang untuk menikmati hidangan berbuka dengan konsep berkelah. Ia merupakan satu usaha pihak berkuasa tempatan iaitu Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk menghidupkan suasana Ramadan dengan lebih mesra komuniti dan keluarga.

Laman iftar yang disediakan ini merupakan salah satu komponen Festival Ramadan Putrajaya 2025 yang berada di Presint 3, Putrajaya. Dengan bertemakan ‘Memori Ramadan Aspirasi Syawal’, festival ini turut menawarkan pelbagai komponen lain seperti Laman Oasis, Bazar Ramadan, Anjung Syawal serta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang sekali gus menjadi pusat sehenti untuk orang ramai membeli-belah, membeli juadah dan beribadah.

Lokasinya yang strategik iaitu terletak berhadapan Kompleks PPj dan Istana Kehakiman Putrajaya serta berhampiran dengan bazar Ramadan membuatkan Dataran Putrajaya menjadi tumpuan bagi warga Putrajaya. Tahun ini Bazar Ramadan Putrajaya, Presint 3 menyediakan lebih 1,000 jenis juadah yang ditawarkan oleh lebih 900 peniaga. Suasana bazar yang meriah ini memudahkan pengunjung mencari makanan kegemaran mereka sebelum melanjutkan aktiviti berkelah sambil menikmati hidangan di dataran.

Tidak dinafikan, konsep berbuka puasa sambil berkelah ini telah menjadi trend serta tarikan utama di Putrajaya. Ia bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk berkumpul, malah turut mengeratkan hubungan sesama mereka dalam suasana penuh keberkatan bulan Ramadan. Dengan kemeriahan yang disajikan, acara ini pastinya akan menjadi tradisi yang dinantikan setiap tahun. – WILAYAHKU

Lensa:

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas