Berita

Berbasikal trek, badminton mampu jelma emas di Olimpik

AZIZULHASNI AWANG antara atlet berpotensi menghadirkan pingat emas sulung buat Malaysia.
- Diterbit 19 Julai 2024 3:50 PM MYT

KETUA Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berpendapat sukan berbasikal trek atau badminton bakal menjadi penyumbang pingat emas pertama negara di temasya sukan berprestij itu.

Beliau berkata ini berdasarkan prestasi semasa, selain pencapaian sukan berkenaan dalam beberapa kejohanan dan temasya Sukan Olimpik edisi sebelum ini.

“Antara atlet yang berpotensi menghadirkan pingat emas sulung Malaysia itu adalah perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan jaguh berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

“Jika ada atlet muda seperti di sukan renang, memanah dan terjun menghadirkan pingat lain, ia bagus untuk masa depan mereka, Olimpik seterusnya dan satu bonus buat kontinjen negara, kita letak dulu sasaran satu pingat emas sebagai permulaan.

“Sasaran yang diutarakan menteri, kita perlu berusaha untuk dapatkannya,” ujar beliau.

Terbaharu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kekal dengan sasaran hanya satu pingat emas pada temasya sukan Olimpik Paris 2024.

Sementara itu, Hamidin menyeru atlet yang membuat penampilan pertama terutamanya bagi mereka yang beraksi menerusi tiket ‘wildcard’ di temasya sukan empat tahun sekali itu untuk sekurang-kurangnya memperbaharui rekod peribadi masing-masing.

Dalam masa sama, turut mengingatkan agar kesemua atlet supaya berhati-hati dan menjaga keselamatan diri sepanjang membuat persediaan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas