Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
PENGALAMAN berada dalam kehidupan berbudaya suatu waktu dulu memberikan suatu yang amat berharga apabila menjadi warga Kuala Lumpur sejak empat dekad lalu. Hal yang demikian menjadikan lingkaran budaya Melayu sentiasa membentuk perilaku dan etika secara tidak rasmi dalam menjalani kehidupan di mana-mana sahaja termasuk di kota besar.
Penghayatan yang tinggi terhadap kehidupan berbudaya sebenarnya memperkukuhkan nilai-nilai yang suatu waktu dulu mendokong cara hidup generasi silam terutama di kampung-kampung. Sekalipun daripada sudut kebendaan golongan itu mungkin tidak semaju warga kota, tetapi menikmati hidup yang aman dan harmoni.
Kehidupan berbudaya membentuk hidup yang saling bertaut antara satu dengan yang lain, bekerjasama dalam banyak perkara hingga keakraban dalam kalangan masyarakat menjadi amat kukuh. Disebabkan budaya hidup juga perkara yang sukar atau berat menjadi ringan apabila dilakukan secara bersama, bergotong-royong dan sebagainya.
Kuala Lumpur adalah lubuk mencari rezeki, hal itu berlaku sejak lama dulu dan berterusan hingga kini. Maknanya warga yang mendiami Kuala Lumpur ketika ini adalah golongan yang pernah hidup dalam budaya Melayu yang mengutamakan kerjasama dan tolong-menolong antara satu dengan lain.
Maka, ada baiknya nilai budaya hidup yang harmoni itu dilestarikan dalam persekitaran kehidupan di Kuala Lumpur. Tidak mundur seseorang atau sesebuah masyarakat yang mendokong kembali nilai yang pernah menjadi petunjuk kepada generasi yang silam.
Kehidupan di kota besar yang maju dan moden sebenarnya bukanlah memusuhi nilai-nilai yang baik diteruskan oleh masyarakatnya. Kemajuan atau kemodenan menjadi lebih bermakna sekiranya terus mendokong nilai-nilai budaya yang terbukti memberikan corak hidup yang lebih baik.
Memberi laluan pada pelestarian nilai budaya yang dulunya dijulang oleh generasi silam adalah salah satu cara kita membina kedudukan yang selayaknya pada nilai-nilai yang boleh menyumbang daripada sudut etika dan pekerti masyarakat yang lebih baik.
Oleh sebab itu adalah menjadi tugas dalam kalangan kita semua yang menjadi warga kota untuk menoleh kembali nilai-nilai yang unggul dalam kehidupan budaya suatu masa lalu. Hal itu perlu diangkat dan dihayati sebagai satu etika dan petunjuk dalam mengharungi kehidupan yang moden.
Antara yang perlu dilestarikan adalah sikap mengambil endah terhadap sesuatu yang berlaku dalam lingkaran yang kecil, kepada jiran di taman perumahan. Tidak semua yang dikatakan ‘jangan menjaga tepi kain orang’ itu membawa kebaikan kepada masyarakat.
Malah sudah banyak terbukti sikap suka ambil endah terhadap sesuatu yang tidak kena di persekitaran memberi kebaikan. Contoh mudah yang selalu kita lihat di media adalah penderaan kanak-kanak atau pembantu rumah. Maklumat jiran yang membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan selanjutnya.
RENTAS SEMPADAN
Hidup ini satu perkongsian atau saling berbahagi antara kita dengan masyarakat. Tidak dinamakan hidup bermasyarakat kalau mengamalkan sikap individualistik, biarpun di kota-kota besar. Maka sikap mengambil tahu itulah yang menjadi kekuatan generasi terdahulu dalam memastikan keselamatan dan hal-hal yang memerlukan tindakan segera.
Kitalah yang bertanggungjawab untuk memastikan kehidupan budaya itu terus lestari dan nilai serta amalan yang menjadi tonggak budaya Melayu itu tidak terusir dengan perubahan sosial dan gaya hidup masa kini. Kita tidak boleh mengharapkan hanya masyarakat di kampung sahaja yang meneruskan corak kehidupan yang berbudaya itu kerana mereka juga sedang bertarung dengan perubahan yang dibawa oleh budaya rentas sempadan dan benua.
Saya tentunya antara yang bernasib baik kerana pernah berada dalam kehidupan masyarakat kampung sangat akrab dengan alam budaya dan tradisi. Muafakat menjadi teras kehidupan orang kampung. Dalam segala perkara, jalur hidup orang kampung tidak terkeluar daripada garis muafakat. Inilah kekuatan dalam berdepan zaman di mana kemiskinan selalu bertandang di depan tangga.
Saya menyaksikan sendiri kehidupan masyarakat di sekeliling yang dilingkungi dengan amalan budaya dan tradisi Melayu. Kemiskinan tidak menjadikan mereka lupa pada pegangan budaya dan nilai-nilai yang diwarisi sejak berzaman lamanya. Dengan berbudaya mereka menjadi begitu tegar berdepan cabaran kehidupan termasuk yang diancam kemiskinan.
Pada masa itu, generasi muda menjadikan yang lama sebagai rujukan dalam kehidupan. Maka semua amalan budaya itu diulang dan diturunkan, begitulah kitaran kelestarian budaya dalam masyarakat Melayu. Amalan budaya ini secara muafakatnya diterima sebagai rukun hidup bermasyarakat.
Budaya menjadi acuan kehidupan dengan peraturan-peraturannya. Tidak ada undang-undang yang melingkari masyarakat kecuali budaya. Perkara yang dilarang dalam budaya diambil sebagai sempadan dan tidak dilanggar demi muafakat yang dimeterai.
Kepercayaan bahawa budaya itu adalah undang-undang tertinggi amat ketara. Kalau ada sesuatu pertelagahan, orang kampung akan merujuk kembali pada budaya yang dalamnya ada adat dan adab tertentu. Ketua dalam masyarakat menjadi pendiri sekali gus melestarikan budaya itu.
Muafakat menjadi teras kehidupan berbudaya dalam kalangan orang kampung. Muafakat jugalah kata utama hampir semua perkara yang melibatkan masyarakat. Hasilnya wujudlah budaya gotong-royong yang menjadi satu kaedah yang meringankan beban kehidupan harian. Hal ini menepati pesan orang tua-tua, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Bagi orang kampung, kopi yang sepahit mana sekalipun menjadi manis kalau diminum bersama-sama dengan jiran tetangga dan semua ahli masyarakat. Demikian sebuah pengalaman budaya di sebuah kampung yang mundur, tersorok daripada pembangunan tetapi kaya dengan keharmonian dan kesejahteraan.
Hal itu bertepatan dengan konsep kebersamaan, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Itulah pesanan daripada orang bijak pandai dan pemikir Melayu dahulu kala. Siapakah yang berani menidakkan kebenaran kata-kata itu? Sampai bila-bila sekalipun pesanan berharga itu tidak mampu dicantas akan kebenarannya.
Tambahan pula hakikat hidup bermasyarakat adalah umpama segenggam lidi, kekuatan itu datang dengan kebersatuan. Kekuatan dan keutuhan berdepan dengan segala badai dan cabaran tidak mungkin dapat ditentang secara berpecah-pecah atau sendirian. Kebersatuan dalam masyarakat menjadi teras dan ini banyak sekali ditekankan dalam kehidupan semua budaya dan kaum.
Sudah tentu tidak ada halangan untuk kita yang mendiami kota yang serba maju dan moden ini terus mengamalkan budaya hidup yang bersifat sejagat oleh generasi terdahulu. Amalan bermuafakat, gotong-royong, sentiasa ambil endah tidak akan menjadikan kita kolot di ibu kota yang serba moden ini. Percayalah.