Fitnah vs Fakta

Beras Putih Madani solusi tangani kartel

KERAJAAN belum buat keputusan wujud satu gred beras putih. - Gambar hiasan
- Diterbit 26 Februari 2024 2:20 PM MYT

ISU Beras Putih Malaysia Madani yang hangat diperkatakan saat ini bukanlah untuk menyokong kartel sebaliknya ia dapat memastikan industri beras negara bebas dari kawalan pihak tersebut.

Di laman sosial, ada yang mendakwa kerajaan mempunyai niat tersembunyi untuk kepentingan sendiri bukan memikirkan kehidupan rakyat terutamanya dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar.

Walau bagaimanapun kita seharusnya memahami bahawa perkara ini belum diputuskan dan tidak perlu membuat andaian mengikut emosi memandangkan ia akan diteliti serta dibincang secara terperinci terlebih dahulu.

Perbincangan tersebut bakal berlangsung dalam mesyuarat Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan cadangan mewujudkan Beras Putih Malaysia Madani akan membantu negara dalam menyekat campur tangan kartel sekali gus menjamin bekalan makanan ruji rakyat.

Memetik kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, kekeliruan timbul susulan pengumuman Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkait cadangan mengenai Beras Putih Malaysia Madani.

Namun sebarang ketetapan mestilah dibuat mestilah berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Sudah pasti kerajaan tidak akan menindas dan membebankan rakyat malah membantu sedaya upaya untuk mengurangkannya dengan pendekatan yang lebih holistik.

Terdahulu, Syed Abu Hussin mencadangkan pihak kerajaan mengeluarkan Beras Putih Malaysia Madani untuk menggantikan kategori beras tempatan dan import dengan harga yang lebih rendah.

Sementara pada Februari lalu, Pengerusi Task Force NACCOL, Syed Abu Hussin Hafiz mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan beras tersebut yang dijual pada harga RM30 bagi setiap 10 kilogram (kg) dijangka mulai 1 Mac depan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas