Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
SESEKALI apabila pulang ke kampung, ada kawan-kawan yang menetap di sana bertanya tentang Kuala Lumpur. Mereka mahu mendapatkan gambaran daripada saya yang telah ‘berkampung’ sejak 40 tahun lalu di ibu kota. Sebelum itu mereka hanya tahu Kuala Lumpur sebagai tempat untuk ‘orang kaya dan ternama.’
Dalam banyak pertanyaan itu yang paling sukar untuk dijawab adalah, “Berapakah gaji yang cukup untuk hidup di Kuala Lumpur?” Sebabnya Kuala Lumpur dikenali dengan kehidupan yang moden dan didiami pula oleh golongan yang kaya. Bukan setakat kaya, tetapi ‘kaya gila.’ Maksudnya memiliki kekayaan yang tidak terbayang dek akal orang kecil seperti saya.
Kawan-kawan tahu saya bukan bergaji besar semasa memulakan langkah di Kuala Lumpur kerana tidak mempunyai pendidikan akademik yang tinggi. Malah hingga kini hidup saya sangat sederhana. Tentulah mereka hendak tahu sesuatu yang membolehkan saya terus hidup di Kuala Lumpur hingga kini.
Di luar pengetahuan mereka Kuala Lumpur bukan penuh dengan orang kaya. Yang ‘kaya gila’ memang banyak dan yang ‘gila kaya’ pun tidak kurangnya, tunjuk segala harta yang ada. Bagaimanapun hakikatnya kalau dibaling sebiji batu, banyak yang terkena golongan yang terpaksa kais pagi namun belum pasti cukup untuk makan pagi.
Adakah hanya yang mempunyai pendapatan RM30,000 ke atas sahaja yang boleh hidup di Kuala Lumpur? Kalau dikatakan ‘ya’ tentulah menimbulkan pertanyaan lain tentang golongan yang berpendapatan jauh lebih rendah misalnya sekitar RM2,500, RM3,500 atau RM5,000 sebulan.
Dengan belanja sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur, cukupkah dengan pendapatan sebanyak itu? Belanja sara hidup memang tinggi, bukan sahaja sekarang tetapi sejak dulu lagi. Bayangkan 40 tahun lalu gaji untuk pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya sekitar RM325 hingga RM450 sahaja.
Kadar sewa rumah di Kuala Lumpur mencapai RM200 hingga RM300. Bayangkan berapa banyak pendapatan yang mengelunsur pada belanja sewa rumah sahaja. Bagaimanapun mereka yang sezaman dengan saya boleh hidup dengan belanja sara hidup yang setinggi itu, kecuali tambang bas mini hanya 50 sen. Ada RM1 sudah boleh pergi dan balik dari tempat kerja.
Menurut laporan, negara ini yang terendah dalam penggajian. Sebahagian besar majikan di negara ini hanya memperuntukkan sekitar 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk membayar gaji. Angka ini yang terendah berbanding negara di sebelah sini, Singapura (40 peratus), Indonesia (84 peratus) dan Filipina (76 peratus).
Hakikatnya kini banyak juga warga Kuala Lumpur yang hanya berpendapatan sekitar RM3,000. Bagaimanakah dengan perancangan kewangan dan kehidupan mereka? Adakah kehidupan mereka selesa?
Maka semua pertanyaan untuk mengukur keperluan kewangan sebuah kehidupan Kuala Lumpur adalah sukar dijawab malah subjektif pula sifatnya. Sekalipun begitu suatu yang boleh dinafikan adalah kehidupan di Kuala Lumpur adalah suatu yang sangat keras dan mencabar. Tekanan fizikal dan emosi ada di mana-mana.
Malah amat menguji ketahanan terutama yang berpendapatan kecil untuk disesuaikan dengan belanja keperluan asas iaitu kediaman, pengangkutan, makanan, persekolahan anak-anak dan belanja penjagaan anak. Kesemua yang disenaraikan itu tidak boleh mungkir, mesti dipenuhi.
MENGADU NASIB DI KOTA BESAR
Belanja kediaman, sama ada menyewa atau membeli secara ansuran pada relatifnya tetap tinggi. Nilai kediaman paling rendah pun melepasi garis RM300,000. Maknanya ansuran bulanan lebih RM1,000. Kalau menyewa juga lebih kurang sama sekitar RM1,200 dan ke atas.
Kenderaan juga satu keperluan dan tidak semua memiliki kereta untuk bergaya. Tanpa kenderaan, semua yang berkaitan dengan kehidupan pasti terjejas. Paling kurang pun ansuran kereta RM500 sebulan. Sebab itulah banyak yang memilih menunggang motosikal ke tempat kerja biarlah berhujan dan berpanas asalkan ada lebihan pada hujung bulan.
Suatu yang sangat menekan sesetengah dalam kalangan yang baru memulakan kehidupan berkeluarga adalah belanja penjagaan anak yang tinggi. Setiap seorang anak memerlukan RM300 atau lebih untuk belanja penjagaan di rumah pengasuh.
Maka apabila membuat keputusan untuk mengadu nasib di kota besar seperti Kuala Lumpur, perkara pertama adalah bersedia berdepan dengan cabaran-cabaran yang tidak ada kalau terus hidup di kampung.
Kemewahan di Kuala Lumpur sebenarnya tidak boleh dinikmati oleh semua orang. Cahaya gemerlapan itu bagi golongan tertentu adalah terlalu jauh dan sukar untuk digapai dalam realiti. Memang gemerlapan Kuala Lumpur sangat memukau, tetapi tidak semua dapat memiliki sekali gus berada di dalamnya.
Kuala Lumpur itu ibarat lautan, yang tidak mampu menggerak kaki dan tangan akan tenggelam. Inilah perjuangan hidup yang tidak pernah ada penamatnya. Siapa lambat akan tertinggal dan terus ketinggalan kerana tidak ada siapa yang peduli akan kehidupan orang lain yang lemah.
Pada dekad 1980-an ketika saya menjejak kaki ke Kuala Lumpur, banyak kawan sebaya dalam lingkungan usia 20-an adalah pendatang dari kampung dan pedalaman. Mereka bukan dari Lembah Kelang, tetapi di negeri-negeri yang jauh daripada tempias gemerlapan Kuala Lumpur.
Misalnya Kelantan, Terengganu, Johor dan Kedah. Sangat sedikit anak kelahiran Kuala Lumpur yakni anak kelahiran Kampung Baru atau gelembung elit Melayu di Damansara dan Bangsar.
Antara pemangkin penghijrahan perantau ke Kuala Lumpur adalah mahu membina kehidupan baharu. Walaupun banyak tanah terbiar di kampung, Kuala Lumpur tetap dianggap sebagai lubuk rezeki. Antara faktornya banyak kawasan perindustrian yang membuka peluang pekerjaan yang tidak ada di kampung-kampung.
Hakikatnya di sebalik bangunan yang puncaknya mencakar awan, di celah-celah lorong dan kaki-kaki lima banyak yang terpaksa bertarung untuk hidup kerana bertaraf miskin bandar. Miskin di tengah bandar jauh lebih memeritkan berbanding susah hidup di kampung.
Pertanyaan awal tadi sebenarnya tidak mudah untuk dijawab. Saya hanya mampu memberikan gambaran yang perlu dihadapi untuk membina kehidupan di Kuala Lumpur.
Sekalipun begitu, hakikatnya banyak yang hidup bahagia dengan himpitan ekonomi dari kiri dan kanan. Masa yang sama ada juga yang berstatus T20 atau lebih tinggi lagi yang gajinya berbelas malah berpuluh ribu ringgit sentiasa tidak bahagia dalam ekonomi keluarga. Harapnya pertanyaan tentang gaji yang cukup untuk hidup di Kuala Lumpur sudah terjawab.