PELBAGAI bentuk bantuan dan sumbangan telah diagih oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) kepada penduduk tanpa mengira bangsa, dalam usahanya menyantuni keperluan cakna warga di Wilayah Persekutuan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, sumbangan disalurkan meliputi pelbagai bentuk secara berkala itu,membuktikan keprihatinan institusi serta Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) diterajui Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa yang peka kebajikan rakyat.
Beliau berkata, antara bantuan sudah disumbang setakat ini seperti beg sekolah untuk para pelajar agihan beras di samping bantuan kewangan bagi kelompok sasar rakyat khususnya, B40 di semua Wilayah Persekutuan.
“Hari ini, bantuan sebanyak 50 beg sekolah telah diagihkan kepada anak-anak masyarakat India di Rumah Panjang, Bukit Kiara sebagai antara usaha YWP cakna kebajikan untuk mereka memulakan sesi persekolahan.
“Secara keseluruhannya sehingga bulan ini (Mac) sebanyak 33,000 beg sekolah telah disumbang yayasan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Labuan,” kata beliau selepas serahan Bantuan Khas YWP untuk penduduk Rumah Panjang dan ERT Bukit Kiara, di Kuala Lumpur.
Program sumbangan khas dijaya hasil kerjasama MIC itu turut menyaksikan sebanyak 100 kampit beras disumbang untuk setiap keluarga sebagai usaha meringankan beban belanja isi rumah.
Kata Zaizalnizam, bantuan beras dilaksana mulai Februari lalu, menyaksikan lebih 60,000 kampit beras sudah diagihkan kepada warga penduduk di Wilayah Persekutuan termasuk Labuan.
“Bantuan prihatin hasil inisiatif YB Menteri mahu kita cakna keperluan rakyat yang terkesan akibat pendamik COVID-19, jadi mulai Februari 20,000 kampit beras diagihkan melalui Bantuan Beras 1.0, diikuti 20,000 lagi pada Mac dan juga jumlah sama pada bulan April,” jelasnya.
Aspek kebajikan dan keperluan warga penduduk di Wilayah Persekutuan, kata Zaizalnizam kekal menjadi keutamaan YWP yang selama ini telah merencana pelbagai bentuk aktiviti dan program yang berpaksikan rakyat.
Katanya, bukan sekadar bantuan keperluan asas, malah YWP juga komited memberikan kehidupan lebih baik untuk warganya termasuk hasil projek pembangunan perumahan yang lebih selesa dan mampu milik.
“Untuk warga penduduk di Rumah Panjang, Bukit Kiara yang telah bersama kita (YWP) sejak lebih 33 tahun lalu, komitmen YWP membangun projek perumahan lebih baik untuk setiap keluarga disini akan diteruskan, cuma pada masa ini kita masih menunggu prosiding mahkamah untuk tentukan.
“Kami juga bersedia patuh setiap prosedur dalam pelan pembangunan ditetapkan DBKL, jaminan untuk warga penduduk, mereka akan tetap dibela sewajarnya termasuk generasi kedua penduduk bakal disediakan perumahan di kawasan baharu dibangunkan dengan menikmati keistimewaan potongan harga sehigga 50 peratus,”katanya. – SYAHIDIBAKAR – WILAYAHKU