Berita

‘Berakhirlah kisah kami, tahniah Ruhainies meruntuhkan masjid ini’… Bella, Aliff cerai talak satu

- Diterbit 13 Jun 2024 3:17 PM MYT

PASANGAN selebriti kontroversi, Aliff Aziz, 33, dan Bella Astillah, 30, sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Aliff melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat, kira-kira jam 1.10 tengah hari. Lafaz itu kemudian disahkan mengikut hukum syarak oleh Wan Mohd Najib.

Bella yang meluahkan rasa syukur menerusi Instagramnya, mengaku reda menerima takdir ini meskipun bukan mudah perjalanannya.

“Assalamualaikum.Bismillahirrahmanirrahim. Dan berakhirlah kisah kami.

“Saya selalu percaya bahawa peluang mampu mengubah seseorang tetapi hanya jika digunakan dengan baik.

“Dan kesalahan yang dihuat berulang-ulang bukanlah satu kesilapan akan tetapi pilihan.

“Saya selalu mengimpikan rumah tangga yang kekal tetapi apabila difikirkan balik, seberapa banyak peluang yang saya berikan tapi pada akhirnya saya tidak mampu melawan takdir.

“Sudah cukup memperjuangkan hubungan ini, tapi perhubungan ini sia-sia kerana saya seorang sahaja yang berjuang.

“Doa saya agar kehidupan baharu saya bersama anak-anak dipermudahkan dan saya akan  cuba sebaik mungkin menjadi ibu dan bapa yang terbaik buat mereka,” katanya.

Tanpa rasa kesal dengan apa yang terjadi, Bella juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan dirinya selama ini.

“Tiada penyesalan. Saya terima ini adalah ujian dan pengalaman hidup. Terima kasih buat keluarga, sahabat, rakan-rakan industri, media dan followers yang mendoakan kami semua. Semoga segala doa yang baik-baik berbalik kepada anda semua.

“Selepas hari ini, saya tidak lagi ingin mencintai seseorang terlalu dalam, kerana jika berpisah lukanya pun pasti terlalu dalam.

“Dan kali terakhir saya ingin mengucapkan tahniah kepada bekas sahabat saya, Ruhainies kerana berjaya meruntuhkan masjid ini dan anak-anak saya kehilangan bapa mereka,” ujarnya.

Sebelum ini, Aliff dan Bella pernah bercerai talak satu pada 16 Mei 2019, namun, rujuk semula.

Bella memfailkan perceraian daripada suami, Aliff pada 11 Mac lalu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Sejak Mac lalu, rumah tangga Bella dan Aliff, menjadi topik hangat apabila Aliff didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Ruhainies, 32, di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 9 Mac lalu.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas