WK2

Bentuk generasi muda berdisiplin

ADLI (depan) ketika Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 1/2025.
- Diterbit 13 Mac 2025 11:00 AM MYT

PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 menerapkan pelbagai kemahiran dan pengetahuan melalui modul latihan yang seimbang menggabungkan 70 peratus (%) latihan asas ketenteraan dan 30% komponen kenegaraan.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, pendekatan tersebut dirangka bertujuan untuk membentuk generasi muda yang lebih bermotivasi, berdisiplin, patriotik, memiliki kesedaran sivik yang tinggi, mengamalkan nilai-nilai murni serta sentiasa memupuk semangat perpaduan dan kesukarelawan.

“Peserta kelak berpeluang membangunkan potensi diri dalam aspek kehidupan bukan hanya fizikal tetapi dalam kemahiran insaniah, keusahawanan dan teknologi sebagai persediaan menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

“Diharapkan apa yang dipelajari dan dilatih di sini, dibawa sebagai bekalan sepanjang hayat dan anggaplah ia sebagai satu amanah untuk dijaga, dipatuhi dan diamalkan sebaiknya.

“Pendedahan mengenai pilihan kerjaya masa hadapan meliputi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), badan beruniform dan sukarela juga telah diberikan.

“Maka dengan demikian, Wira Muda perlu meneruskan langkah yang terarah untuk memastikan pilihan yang dibuat adalah tepat dan serasi dengan jiwa dan kebolehan masing-masing,” katanya.

Beliau turut menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 1/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah (515 AW) melibatkan 73 pelatih lelaki dan 43 pelatih wanita berusia di antara 18 hingga 25 tahun.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara; Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran dan Komandan Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) 515; Mejar Mohd Solehin Ahmad.

Dalam perbarisan tamat latihan tersebut, Muhammad Khairel Ikhsan diberi kepercayaan selaku Ketua Perbarisan diiringi Pancaragam Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1RAMD) dan Pancaragam Rejimen 502 AW.

Jelas Adly perbarisan pada majlis tamat latihan tersebut jika dihayati dari persepsi masa hadapan ia adalah satu permulaan hala tuju Wira Muda dan merupakan cetusan pembinaan negara bangsa yang akan terpahat sebagai sejarah negara.

Tambahnya generasi yang hidup pada alaf baru yang serba luas dan pantas sudah pasti akan melalui satu perjalanan kehidupan yang panjang dan mencabar.

“Ketangkasan tindakan, kecekalan iltizam, tumpuan minda dan kejituan elemen spiritual mesti berada pada tahap yang betul. Keterbukaan minda dan pengaruh budaya negatif janganlah sampai menghakis semangat patriotisme dalam diri,” katanya.

Katanya belia yang memenuhi syarat adalah digalakkan untuk menyertai PLKN 3.0 secara sukarela atau menghadiri sesi latihan apabila menerima tawaran.

Program PLKN 3.0 Siri 1/2025 memulakan latihan selama 45 hari pada 12 Januari hingga 25 Februari lalu dengan penyertaan seramai 116 pelatih yang hadir secara sukarela dari pelbagai latar belakang, komposisi kaum, agama dan lokaliti.

Menyentuh berkenaan kejayaan PLKN 3.0, Adly berkata hasil usaha komandan, jurulatih, kumpulan pembina modul, pensyarah dan staf CLKN Rejimen 515 Askar Wataniah terbukti berhasil.

“Tahniah kerana telah berjaya mentransformasikan Wira Muda menjadi tunas-tunas pemimpin mengikut acuan yang telah ditetapkan. Teruskanlah dedikasi melatih dan mendidik anak-anak watan yang bakal menjejak kaki sebagai pelatih PLKN 3.0 yang berjiwa kental, berani serta kalis masa hadapan sebagai satu kelompok negara bangsa yang padu dan bersatu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas