BENGKEL Usahawan Ummah mengetengahkan perkongsian kaedah membina pemikiran dan menetapkan matlamat serta teknik pemasaran usahawan.
Program anjuran Pusat Pemerkasaan Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM) Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Tioman 1 dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) membantu suri rumah menceburi bidang keusahawan.
Pengurus Pembangunan Usahawan DSY Consultant, Md Ibrahim Mahmud berkata program tersebut bertujuan membantu mereka menjana pendapatan sendiri.
“Alhamdulillah, semua yang hadir dalam kalangan suri rumah berumur 30 hingga 60 tahun menunjukkan respons yang sangat positif.
“Mereka tidak hanya menunjukkan minat tetapi teruja mahu mendapatkan bimbingan selain aktif bertanyakan soalan tentang bidang keusahawanan.
“Dengan itu, saya percaya bahawa mereka boleh berkembang maju dalam bidang ini jika adanya timbul rasa ingin tahu, belajar dan minat yang mendalam,” katanya.
Memfokuskan tentang pendedahan ilmu keusahawanan dalam kalangan suri rumah, beliau berkata ia seiring dengan usaha untuk menarik minat mereka berniaga terutama pada masa terluang.
“Suri rumah adalah golongan yang mempunyai potensi untuk berkembang dalam industri keusahawanan terutama melibatkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Dalam masa sama, ia juga boleh membantu mewujudkan lebih ramai lagi kumpulan usahawan dalam komuniti setempat,” katanya.
Jelasnya program tersebut menggunakan teknik Bengkel Zero Cost Marketing yang membolehkan usahawan mengaplikasikan teknik pemasaran tanpa modal dengan hanya menggunakan telefon bimbit sedia ada untuk menjalankan aktiviti pemasaran dan promosi setiap hari, mereka berpotensi mendapat keputusan jualan segera walaupun hanya berniaga dari rumah.
“Pemasaran sangat penting kerana dengan teknik yang betul ia mampu menjana keuntungan selain mampu bertahan lama,” jelasnya bercadang untuk meneruskan bengkel siri kedua di PPR tersebut.
Terdahulu, Bengkel Usahawan Ummah diadakan di Dewan Prepkom PPR Seri Tioman 1 dan ia merupakan bengkel usahawan pertama yang diadakan di PPR tersebut. – WILAYAHKU