Berita

Bengkel pendidikan seni visual bantu calon SPM

PELAJAR menunjukkan lukisan yang dihasilkan menerusi bengkel tersebut.
- Diterbit 12 Julai 2024 10:20 AM MYT

BAGI memenuhi keperluan pelajar seni, Pustaka Kuala Lumpur (PKL) menganjurkan bengkel pendidikan seni visual percuma untuk membantu calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Ketua Pustakawan PKL, Anita Mohd Jali berkata objektif utamanya ialah untuk memberi peluang kepada para pelajar yang akan menduduki kertas PSVMA / PENDIDIKAN SENI VISUAL / 2611 mendapat tunjuk ajar dan tips untuk menjawab kertas tersebut.

“Pihak kami mendapati amat kurang kelas bimbingan untuk subjek ini, dan kalau ada pun ia berbayar dan tidak ramai pelajar yang mampu untuk menyertainya.

“Kebanyakkan bengkel menjawab soalan peperiksaan SPM bertumpu kepada subjek teras seperti Matematik, Sains, Bahasa Malaysia, dan Sejarah. Justeru itu kali ini pihak perpustakaan mengambil inisiatif untuk memberi peluang kepada mereka mendapat pendedahan secara profesional,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Jelas Anita bengkel yang julung kali diadakan itu disertai 70 pelajar dari sekolah sekitar Kuala Lumpur dan dilaksanakan secara kerjasama dengan Persatuan Seni Rupa Malaysia (PeRUPA)  yang mewakili pelukis-pelukis sepenuh masa dan pakar akademik dalam bidang seni.

Menerusi bengkel ini, para peserta juga diberi peluang untuk mendapat tunjuk ajar daripada dua orang pensyarah dari Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam yang mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di dalam bidang seni.

“Selain itu, pelajar turut mendapat penerangan mengenai peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang seni di Institut Pengajian Tingga Awam (IPTA) dan juga peluang pekerjaan yang boleh diceburi oleh mereka pada masa hadapan.

“Para peserta berpeluang menimba ilmu dan belajar kemahiran melukis dengan pelukis sebenar (practitioners) supaya lebih nampak hala tuju mereka dalam bidang ini.

“Selain itu, modul seni visual yang ekslusif dan inklusif daripada dua pensyarah seni untuk membantu peserta  calon SPM mengikut standard penilaian SPM yang sebenar untuk kertas PSV/2611,” katanya.

Beliau turut menaruh harapan agar peserta dapat memanfaatkan peluang yang diberikan lebih-lebih lagi ia adalah kali pertama diadakan.

“Sebagai sebuah perpustakaan yang menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, kami sentiasa mengadakan pelbagai program untuk dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat yang rencam keperluannya,” katanya

Dalam pada itu, Presiden PeRUPA, Irwan Idris berkata kehadiran dua pensyarah berkelulusan PhD untuk membantu pelajar SPM adalah bagi memberi dimensi baharu terhadap pendidikan seni visual dan membawa gaya pengajaran seperti di IPT.

Katanya, pelajar-pelajar memerlukan kaedah pengajaran baharu berikutan elemen kreatif ini dapat dibentuk selari dengan keperluan pihak tenaga pengajar sekiranya mereka berminat untuk melanjutkan pelajaran ke IPT.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas