Oleh HAZIRAH HALIM
BENGKEL Cemerlang SPM 2023 yang melibatkan 300 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sembilan buah sekolah menengah di sekitar kawasan Parlimen Bandar Tun Razak dilhat memberi manfaat kepada pelajar.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika ditemui Wilayahku berkata, bengkel tersebut memberi peluang kepada pelajar mendapatkan ilmu tambahan dan menguasai empat subjek teras.
“Program ini juga mampu melahirkan murid yang mempunyai keyakinan diri dan bersedia dalam menghadapi peperiksaan SPM sekali gus boleh melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang.
“Di peringkat Bandar Tun Razak, banyak sekolah yang mengalami kepadatan pelajar, jadi saya harap program ini sedikit sebanyak memberi galakan dan peluang kepada pelajar untuk lebih memahami, mempelajari dan berkongsi pandangan bersama rakan-rakan dan guru yang ada,” ujar beliau berharap ia akan diperluaskan pada masa hadapan.
Sementara itu, salah seorang guru, Rohazlina Othman berkata bengkel yang diadakan selama dua hari pada 14 dan 15 Oktober lalu memfokuskan kepada empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2 Bahasa Inggeris Kertas 1 dan 2, Matematik dan Sejarah.

“Tujuannya untuk mengecilkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi empat subjek teras tersebut yang merupakan mata pelajaran sasaran bagi SPM di samping mahu mendedahkan kaedah dan teknik menjawab soalan dengan betul serta menepati format peperiksaan yang sebenar.
“Perkongsian pada bengkel ini lebih kepada teknik-teknik menjawab kertas peperiksaan yang betul di mana ia tiada dalam buku. Rata-rata pelajar dilihat mempunyai idea dan jawapan tetapi teknik yang mereka gunakan itu tidak tepat.
“Justeru itu, pada bengkel ini, kita kongsikan target yang dijangka akan keluar pada peperiksaan SPM tahun ini dan teknik menjawab peperiksaan yang betul menggunakan jawapan dan cara yang tepat daripada guru-guru berpengalaman serta terlibat secara langsung dalam peperiksaan dan tanda kertas SPM,” katanya.
Tambahnya, respons yang diterima daripada pelajar amat memberangsangkan di mana pelajar dilihat mudah memahami kaedah yang diberikan selain mempunyai ruang untuk bertanyakan soalan jika maklumat tersebut kurang jelas.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat, Taylor’s University serta Parlimen Bandar Tun Razak di atas kerjasama yang diberikan dalam mewujudkan program seperti ini khusus kepada pelajar-pelajar SPM di sekitar kawasan berkenaan,” ujarnya.
Terdahulu, Bengkel Cemerlang SPM disertai 40 orang guru ini merupakan anjuran Yayasan Bank Rakyat dengan kerjasama Parlimen Bandar Tun Razak dan Taylor’s University.
Antara sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras, SMK Bandar Tun Razak, SMK Orchid Desa dan SMK Sri Permaisuri. – WILAYAHKU