Berita

Bendung amalan rasuah: Ketua jabatan kena laksanakan sistem pusingan kerja

- Diterbit 27 September 2024 3:18 AM MYT

DALAM usaha memastikan setiap kementerian dan jabatan berupaya meningkatkan penyampaian perkhidmatan secara optimum dan berkesan, semua ketua jabatan dikehendaki melaksanakan sistem pusingan kerja di organisasi masing-masing mulai bulan depan.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), saranan itu merupakan salah satu inisiatif disasarkan dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.

Ia katanya, selari dengan Surat Edaran Pelaksanaan Urusan Pusingan Kerja yang dikeluarkan JPA pada 14 Mei lepas.

“Langkah ini merupakan elemen penting dalam pengayaan dan peluasan tugas yang menyumbang kepada kemajuan kerjaya pegawai awam dari segi peningkatan kompetensi, pengalaman dan motivasi.

“Selain itu pusingan kerja ini juga dapat membendung dan menangani masalah prestasi kerja, ketirisan dana awam, penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

JPA menambah, semua ketua jabatan perlu memandang serius terhadap pelaksanaan sistem kerja tersebut di kementerian atau jabatan masing-masing.

Katanya, ketua jabatan perlu mengenal pasti dan melaksanakan pusingan kerja terhadap pegawai yang wajar ditukarkan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa dinamik dan menepati kehendak semasa.

“Kegagalan dalam melaksanakan pusingan kerja boleh disifatkan sebagai cuai dalam melaksanakan tugas dan tidak bertanggungjawab.

“Ketua jabatan boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

Tambahnya, tindakan itu dipercayai akan menjadi peringatan kepada semua pegawai awam tentang kepentingan melaksanakan tugas dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan.

“JPA akan terus memantau dan menilai pelaksanaan pusingan kerja ini untuk memastikan matlamat yang diharapkan tercapai,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas