YANG Di -Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan bahawa bendera merupakan lambang kedaulatan dan identiti sesebuah negara, serta tidak seharusnya dipersendakan dalam apa jua bentuk.
Seri Paduka Baginda bertitah, Jalur Gemilang bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni, sebaliknya mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat yang berbilang kaum di negara ini.
“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.
Baginda turut menzahirkan kekesalan terhadap insiden yang berlaku pada muka depan edisi 15 April akhbar Sin Chew Daily, yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam bentuk tidak lengkap, tanpa simbol bulan sabit – satu elemen penting yang melambangkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Menurut Sultan Ibrahim, pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan bertanggungjawab dalam memastikan setiap bahan siaran disemak secara teliti sebelum dicetak dan diedarkan kepada umum.
“Sebarang kecuaian dalam perkara yang menyentuh simbol negara seperti bendera tidak boleh dianggap remeh kerana ia menyentuh soal maruah, semangat patriotisme dan perpaduan nasional,” titah Baginda.
Sultan Ibrahim menegaskan, penghormatan terhadap Jalur Gemilang perlu dipelihara oleh semua pihak agar nilai dan makna simbol kebangsaan terus dihormati generasi demi generasi.
Terdahulu, akhbar harian berbahasa Cina, Sin Chew Daily, menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit pada muka depan edisi bertarikh 15 April 2025 sekali gus mengundang reaksi kurang senang pelbagai lapisan masyarakat.-WILAYAHKU