Singgah

Bendang padi dalam bandar

- Diterbit 28 Oktober 2024 5:51 PM MYT

MENIKMATI kedamaian suasana kampung dengan kehijauan pohon-pohon semestinya dapat menenangkan fikiran setelah hampir seminggu berada di hutan batu kerana tuntutan kerja.

Menjelang hujung minggu‚ pasti ramai yang mengambil peluang untuk lari sebentar dari kesesakan sambil menghirup udara segar di samping mengisi masa terluang bersama keluarga tersayang.

Tidak perlu pergi terlalu jauh‚ bagi anda yang berada di Lembah Klang‚ apa kata manfaatkan kesempatan yang ada dengan mengunjungi Taman Warisan Pertanian Putrajaya. Sesuai dengan namanya‚ ia dibina bagi memelihara warisan serta pertanian di Malaysia.

Menurut Naib Presiden (Jabatan Landskap dan Taman) Perbadanan Putrajaya‚ LAr Haslinda Khalid‚ Taman Warisan Pertanian mempunyai empat kawasan utama yang menjadi tarikan dan salah satunya adalah tanaman padi.

Menariknya laman yang menjadi tumpuan utama pengunjung ini merupakan satu-satunya representasi bendang tradisional yang mempamerkan tumbuhan padi yang ada di Putarajaya.

“Sudah semestinya bagi mereka yang dibesarkan di kawasan bendang‚ lokasi ini mampu menggamit nostalgia ketika berada di kampung halaman. Di sawah ini juga terdapat beberapa arca atau bentuk haiwan yang lazimnya digunakan di bendang untuk membajak petak sawah padi seperti kerbau penarik bajak.

“Kreativiti tradisional juga dapat digambarkan dengan adanya elemen ‘orang-orang’ yang bertujuan untuk menghalau burung-burung yang akan memakan padi yang hampir matang‚” ujar beliau.

Tambahnya bagi mendekatkan lagi pengunjung dengan suasana bendang‚ pelbagai aktiviti menarik turut diadakan antaranya Program Menanam Padi dan Menangkap Belut yang begitu sinonim dengan kehidupan di sawah.

“Selain tanaman padi‚ kawasan lain yang menjadi tumpuan adalah plot getah dan rumah pekebun kecil di mana para pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi menoreh pokok getah.

“Kawasan ini juga merupakan Estet Prang Besar dan tapak asli plot getah yang berusia lebih 30 tahun. Ia mempunyai keluasan lebih kurang sembilan ekar dan mempunyai 71 klon getah. Plot getah juga satu-satunya kawasan pokok getah asal yang ada di Putrajaya.

“Selain itu‚ kita juga mempunyai menara tinjau yang sesuai dijadikan tempat keramaian dan boleh memuatkan sehingga 300 orang pada satu masa. Pengunjung juga disajikan dengan pemandangan indah kawasan sekeliling Putrajaya‚” ujarnya.

Mula dibuka kepada orang ramai sejak 15 Mei 2003‚ Haslinda berkata taman yang berkeluasan 35 ekar ini mempunyai lebih daripada 170 pokok tumbuh-tumbuhan daripada pelbagai spesies.

“Antaranya pokok buah-buahan tropika (tarikan utama), tanaman komersial‚ kelapa sawit‚ pokok getah‚ kopi‚ teh‚ koko dan juga tanaman herba serta rempah-ratus.

“Taman ini diwujudkan untuk mempamerkan tanaman pertanian Malaysia yang menjadi penyumbang kepada perkembangan ekonomi negara‚” katanya.

Mengulas lanjut‚ Haslinda berkata Taman Warisan Pertanian amat menarik untuk dikunjungi dan pada masa yang sama ia juga bersifat mendidik pengunjung untuk merasai pengalaman bertani yang dikendalikan oleh fasilitator taman seperti menoreh dan memproses getah dalam suasana kampung.

“Taman ini terkenal dengan landskapnya bercirikan agro-pelancongan yang membawa pengunjung mengimbau kembali ke zaman lalu dan menjadikannya lokasi utama bagi penganjuran acara yang bertemakan suasana desa.

“Kita juga menawarkan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti antaranya lawatan berpandu bagi aktiviti pendidikan dan penyelidikan‚ demonstrasi menoreh getah‚ sewaan tapak bagi penganjuran pelbagai acara dan program‚ penggambaran‚ fotografi‚ majlis keraian yang berskala sederhana seperti aktiviti berkelah sambutan ulang tahun‚ perkhidmatan buggy dan lain-lain‚” katanya.

Patuh peraturan

pengunjung juga dinasihatkan untuk mematuhi Peraturan Taman (Putrajaya Parks By Laws 2002 – pindaan 2023) yang merupakan peraturan berdasarkan peruntukan Undang-Undang Kecil Taman (Wilayah Persekutuan Putrajaya) 2002 serta merangkumi semua kawasan Taman-taman awam‚ Putrajaya.

“Bagi keselesaan‚ akan terdapat penambahan pintu utama ke taman melalui laluan alternatif bertujuan memudahkan pengunjung untuk terus masuk ke kawasan Dusun Warisan Pertanian dan ke destinasi yang diingini.

“Di samping itu‚ penambahbaikan fasiliti seperti kerusi taman‚ kawasan riadah serta penghadang yang lebih banyak di kawasan lereng bukit bagi menjamin keselamatan pengunjung‚” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas