Artikel

Benak sangatkah kita?

ISTANA kehakiman simbol kedaulatan undang-undang negara.
- Diterbit 14 Januari 2025 3:24 PM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

MINGGU ini negara dikecohkan oleh isu adendum atau tambahan yang melibatkan usaha bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memohon pengampunan atas kesalahan yang telah beliau lakukan.

Najib mendakwa, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah memberikan titah tambahan selain daripada apa yang telah diputuskan oleh Lembaga Pengampunan dalam sidang mereka pada 29 Januari 2024.

Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin itu telah membuat keputusan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

Oleh yang demikian, Datuk Seri Najib Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210,000,000 dikurangkan kepada RM50,000,000.

Namun sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Datuk Seri Najib Razak akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029, kata kenyataan Lembaga Pengampunan.

Sehari selepas itu, Najib mendakwa, Yang di-Pertuan Agong telah memberikan titah tambahan kepada keputusan itu iaitu mengarahkan agar Najib menjalani hukuman seterusnya secara tahanan di dalam rumah.

Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025 telah mengesahkan kewujudan titah ini dan mengarahkan agar Mahkamah Tinggi meneruskan perbicaraan permohonan Najib agar titah adendum itu dilaksanakan.

Seorang rakan saya menghantar satu senarai soalan dan jawapan yang menarik mengenai keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan adendum ini.

  1. Adendum tahanan rumah wujud ke?

Ya, ia wujud.

  1. Sah atau tidak?

Tidak sah kerana tidak sempat dimasukkan di dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan.

  1. Apa yang sempat masuk Lembaga Pengampunan?

Pengurangan hukuman terkini Datuk Seri Najib Razak.

  1. Boleh buat rayuan ke sebab ianya wujud?

Boleh. Ambil masa.

  1. Jadi Najib bebas ke sekarang sebab adendum wujud?

Belum bebas. Masih dipenjara menjalani hukuman enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

  1. Kerajaan tipu! Sembunyikan adendum?

Kerajaan tak pernah nafikan. Kerajaan hanya hormati prosedur mahkamah.

  1. Adakah kerajaan masukkan agenda permohonan pengampunan diraja kepada YDPA Sultan Ibrahim?

 Sudah dimasukkan dan Istana Negara sudah keluarkan kenyataan perlu melalui Mesyuarat Lembaga Pengampunan baharu di bawah YDPA ke-17 Sultan Ibrahim. Kerajaan sekarang menjunjung titah YDPA dan mengikuti proses undang-undang negara, bukan main langgar je macam PAS derhaka.

Saya tidak tahu sama ada jawapan yang diberikan ini tepat atau tidak tetapi ia sangat menarik untuk dinilai oleh kita bagi memahami isu adendum ini.

Selain itu, penglibatan PAS dalam perhimpunan membela Najib di Istana Keadilan Putrajaya ketika Mahkamah Rayuan bersidang juga menarik perhatian saya.

Ini kerana, sejak dari awal isu 1MDB ini lagi, PAS sangat tegas menekan Najib dalam perbuatan dan kenyataan mereka. Apabila dilihat Najib sudah tersudut dan terpisah dari majoriti UMNO, barulah PAS dilihat mula mengambil sikap lunak kepada Najib.

Sebelum ini, beberapa pimpinan PAS telah melawat rumah Najib selepas beliau dijatuhkan hukuman bersalah. Kunjungan tengah malam ini sangat pelik kerana ia seolah-olah membela penjenayah yang telah dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Ini kerana PAS sering kali mengulangi matra, tidak bersalah sehingga diputuskan bersalah.

Namun kemuncak daripada sikap PAS tentang Najib adalah penyertaan PAS ke dalam himpunan solidariti untuk Najib. Ia dilakukan ketika isu adendum dibicarakan di Mahkamah Rayuan 6 Januari lepas. Yang menariknya, kumpulan pemimpin PAS yang dikenali sebagai Geng Publika yang menyertai perhimpunan ini.

Mereka digelar Geng Publika kerana mereka selalu berjumpa dan bermesyuarat di pusat membeli-belah elit negara, Publika. Mereka adalah Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Seri Takiyudin Hassan dan Datuk Idris Ahmad.

Di pihak Bersatu pula adalah Datuk Seri Hamzah Zaimnudin dan juga Datuk Seri Mohamad Azmin Ali. Hamzah telah membuat kenyataan penting selepas Mahkamah Rayuan memihak kepada Najib 6 Januari lepas. (Azmin dilihat menjauhkan diri daripada Najib, mungkin faktor hubungan dengan Mahathir).

Hamzah mendakwa PM Anwar derhaka kerana telah menyembunyikan titah adendum itu. Namun bagi saya kenyataan Hamzah tidak penting sangat untuk memahami isu ini. Ini kerana menjadi pengetahuan umum, memang sikap pembangkang macam itu, ambil kesempatan.

Kenyataan yang paling penting bagi saya adalah daripada Zulkifli Yahya, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah. Bekas Pengarang Berita Harakah ini memberikan kenyataan tulus bagi menjelaskan kenapa Pas, sebuah parti Islam yang sebelum ini mementingkan prinsip dan integriti, mengambil sikap yang pelik pada 6 Januari lepas.

Ketika seorang penulis bernama Mohd Syukri mengulas satu tulisan dalam Facebook, “Kadang-kadang hairan… penyokong Pas tidak pening ka dengan sikap pemimpin depa?

Zulkifli menjawab: “Kamu ni buta politik, itulah strategi nak pecah belahkan Umno, juga pecah belahkan BNPH.”

Membaca tulisan ini barulah saya dapat faham itulah tujuan Pas sebenarnya… memecahkan Umno dan memecahkan BNPH.

Jadi kalau ahli, penyokong dan pemimpin Umno tidak faham lagi perangai dan strategi Pas ini, saya tidak tahulah.

Tambahan lagi apabila tersebar semula minit mesyuarat Geng Publika yang antara lain memutuskan ‘Setuju Datuk Seri Ismail Sabri perlu lebih keras terhadap Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib’.

“Perlu ada campur tangan segera dalam kes mahkamah agar mempercepatkan jatuh hukum,” kata minit berdasarkan mesyuarat yang berlangsung ketika kerajaan PN berkuasa di mana Ismail Sabri adalah PMnya.

Takkanlah dengan semua ini kita tidak faham lagi isu ini… kalau begitu benak sangatlah kamu.

SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi, bukan pendirian Wilayahku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas