USAHA pelakon Ben Ali dan Nadiyah Shahab dalam bisnes mula mendapat perhatian di peringkat yang lebih tinggi apabila nama pasangan suami isteri ini tercatat dalam buku Successful People Ini Malaysia terbitan Britishpedia.
Ben Ali atau nama sebenarnya Nur Ali Nadzwan, 29, tidak menyangka namanya dan isteri tersenarai bersama tokoh-tokoh Malaysia hebat yang lain seperti Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, Tan Sri Dr Noor Hisham, Tan Sri Tony Fernandes(Air Asia), Tan Sri Azman Hashim (Ambank) dan Datuk Micheal Yeoh.

“Terima kasih kepada Britishpedia, syarikat penerbitan antarabangsa berpengkalan di United Kingdom yang telah mengiktiraf saya dan isteri untuk berada sebuku bersama tokoh-tokoh hebat yang lain.
“Ianya merupakan satu penghargaan terbesar bagi kami berdua yang baru setahun jagung dalam dunia keusahawanan.
“Masih banyak lagi yang perlu kami pelajari dan perbaiki,” katanya yang mengaku penghargaan ini menaikkan semangatnya serta isteri untuk terus jadi yang terbaik.

“Penghargaan kecil ini sedikit sebanyak membuatkan kami lebih bersemangat untuk mendaki dan berbakti.
“Melalui perniagaan kami bawah jenama Absolut Chocolat dan Absolut Brands Sdn Bhd, diharap dapat memberi manfaat serta peluang untuk terus berkongsi rezeki. Doakan kami ya,” ujarnya lagi yang juga pemilik syarikat Absolut Management yang menguruskan Artis seperti Nadiyah Shahab, Uyaina Arshad, Scha Elinnea, Ikmal Amry, Aisar Khaleed, Harris Annuar dan ramai lagi.

Buku Britishpedia ini menerbitkan biografi sebenar mengenai tokoh-tokoh personaliti yang berjaya.
Semoga pengiktirafan yang diberikan kepada Ben Ali dan Nadiyah Shahab ini menjadi inspirasi terutamanya golongan muda di luar sana.- WILAYAHKU