Berita

Belum ada negara anggota misi UNIFIL tarik diri

- Diterbit 24 Oktober 2024 4:30 PM MYT

BELUM ada negara-negara anggota Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) bertindak menarik diri dan beredar meninggalkan kawasan tanggungjawab di selatan Lubnan setakat ini.

Demikian dinyatakan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari merujuk kepada keputusan UNIFIL susulan serangan demi serangan dilancarkan rejim zionis di Lubnan.

Biarpun begitu tegasnya, aspek kebajikan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang berpangkalan di Lubnan sentiasa menjadi keutamaan.

“Kementerian Pertahanan melalui Kementerian Luar Negeri akan berhubung dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendapatkan perkembangan terkini penugasan pasukan MALBATT 850-11 di Lubnan.

“Kita juga melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau situasi di selatan Lubnan dan akan mengemas kini sebarang perkembangan melibatkan pasukan MALBATT 850-11,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai status pasukan MALBATT 850-11 di Lubnan susulan perang secara terbuka antara Hizbullah dan Israel dan sama ada kerajaan akan mengkaji semula penglibatan Malaysia dalam misi tersebut.

Adly berkata, pasukan MALBATT 850-11 masih dalam keadaan terkawal, selamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kita memastikan bahawa anggota pasukan tersebut bukan sahaja dari segi kelengkapan-kelengkapan mereka tetapi dalam masa sama kita harus lihat kepada faktor keselamatan.

“Sebab itu bila kita nak bertindak di Lubnan, kita bukan sahaja mengambil kira tanggungjawab negara, bukan sahaja kita mengambil kira soal kewangan tetapi yang paling penting bagaimana kita boleh menjamin keselamatan mereka di Lubnan,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai kebajikan pasukan MALBATT 850-11 berkata, sebarang risiko sudah digariskan dan dikelola UNIFIL.

“Kerajaan bukan sahaja menghargai MALBATT 850-11 dari segi kewangan tetapi turut pengorbanan yang dilakukan pasukan tersebut sepanjang mereka berkhidmat.

“Anggota ini dalam tempoh setahun, mereka akan ada atur gerak penggiliran.

“MALBATT 850-11 ini, tarikh tempohnya hingga 14 November ini, selepas itu bermula 6 November, kita akan atur gerak pasukan baharu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas