Berita

Bella beri sokongan pada Syed Saddiq

- Diterbit 19 Mac 2025 11:00 AM MYT

PELAKON dan juga penyanyi, Bella Astillah hadir di Istana Kehakiman pagi tadi bagi memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Bella yang mengenakan baju kurung bunga-bunga dilihat ditemani ahli keluarga termasuk adiknya Didi Astillah.

Bagaimanapun ketika ditemui pihak media, Bella enggan memberikan sebarang kenyataan.

Sewaktu menantikan prosiding di Mahkamah Rayuan berlangsung, Bella dilihat berbual-bual dengan ahli keluarga ahli politik itu termasuk bapa kepada ahli politik itu.

BELLA Astillah hadir di Istana Kehakiman pagi tadi bagi memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq

Selain ahli keluarga dan Bella, turut hadir memberikan sokongan adalah kira 30 penyokong Syed Saddiq.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta.

Jika gagal membayar denda,Syed Saddiq boleh dipenjara empat tahun.

Bagaimanapun Hakim Azhar membenarkan Syed Saddiq menangguhkan pelaksanaan semua hukuman manakala syarat jaminan dikekalkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas