ADA yang berpendapat, selebriti dan kontroversi tidak dapat dipisahkan bagi mengekalkan populariti sedia ada.
Sama ada ia sengaja dicipta atau tanpa rela, hakikatnya cerita-cerita panas membuatkan nama selebriti terus menjadi bualan.
Bagi penyanyi Bella Astillah, setiap orang mempunyai persepsi berbeza tentang cerita sensasi. Namun, bagi dirinya gosip atau kontroversi yang datang adalah luar jangkaan dan bukan kehendaknya.
“Sempena tahun baharu ini, saya berazam mahu bebas daripada cerita sensasi dan kontroversi. Sebelum ini mungkin ramai sangat netizen yang cakap saya ni sukakan kontroversi, sama sekali tidak ya.
“Sebaliknya cerita-cerita macam tu buat saya lebih risau. Kalau boleh memang nak elak kontroversi, tapi itulah bila jadi artis ni, tiba-tiba ada saja cerita yang dikaitkan sedangkan kita tidak tahu menahu soal itu,” ujarnya.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 28, juga mengaku memahami tugas pihak media, namun kenyataan sering kali diputar belit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Saya faham kehendak rakan-rakan media, jadi saya takkan lari dari wartawan. Namun apabila keluar kenyataan, ada pula yang cakap saya ni tak habis-habis nak cari kontroversi.
“Kadang-kadang ada yang naikkan balik artikel lama dan netizen pun komen. Jadi dengan penjelasan ini, mungkin boleh jadi pencerahan buat netizen yang tak faham situasi ini,” ujarnya yang pernah terlintas di fikiran untuk meraih populariti dengan cara sebegitu.
Tambah Bella, banyak hati yang perlu dijaga terutamanya keluarga sendiri dan mentua kerana setiap kali kontroversi melanda mereka akan terus bertanya kepada dirinya.
“Saya mohon agar netizen tidak lagi salah faham dan menyiasat terlebih dahulu artikel lama atau baharu. Ini kerana komen-komen yang dibuat secara tidak langsung memberi kesan kepada saya mahupun artis lain.
“Jadi saya harap sangatlah kepada netizen yang tuduh saya suka sangat beri kenyataan tu, sebenarnya tidak seperti yang mereka sangka. Perkara-perkara sebegini boleh mengganggu mental selebriti.
“Apa yang lepas, biarkan berlalu. Janganlah diungkit lagi. Saya tahu itu asam garam sebagai selebriti tapi tahun ini saya nak fokus keluarga dan kerjaya. Itu keutamaan saya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Bella memberitahu tidak sabar untuk berkongsi ‘air tangannya’ pada bulan Ramadan tidak lama lagi.
“Saya akan jual kuih raya dan akan usahakan untuk berada di booth sepanjang festival Absolute Bazaar X Festival Gaya Raya 2024. Kuih raya itu adalah resipi turun-temurun keluarga seperti Red Velvet Cookies, Batang Buruk Sabah dan banyak lagi.
“Memang dari zaman kanak-kanak saya selalu tolong ibu buat kuih dan sudah terbiasa duduk di dapur. Sekarang ini peluang untuk peminat rasa pula,” ujarnya yang tidak sabar berada di festival yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) selama 66 jam tanpa henti bermula 29 Mac pukul 12 tengah hari sehingga 1 April pukul 6 pagi. – WILAYAHKU