Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Belia diseru aktif dalam sektor koperasi – Ramanan

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 29 Mei 2024 4:00 PM MYT

BELIA diseru untuk terlibat secara aktif dalam sektor koperasi kerana ia menawarkan potensi besar buat golongan itu, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R.Ramanan.

Beliau berkata menerusi sektor koperasi, belia akan dapat memperkukuh ‘rangkaian kerja’ dalam pelbagai bidang diceburi, selain membuka hubungan mereka dengan negara luar, dan Malaysia ketika ini mempunyai 15,809 koperasi berdaftar dengan keahlian 7.2 juta orang.

“(Penglibatan dalam koperasi) beri kita (belia) kelebihan kerana kita dapat networking dan persahabatan dari semua ahli koperasi,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Persidangan Koperasi Antarabangsa 2024 (ICC 2024) di sini hari ini.

Ramanan berkata pengenalan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) di bawah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) membolehkan belia untuk mengetahui kelebihan menyertai sektor koperasi.

“Kita perlu pastikan belia sedia ada menceburi bidang koperasi… mereka perlu dapat latihan atau taklimat berkaitan manfaat sekiranya mereka berada dalam koperasi,” katanya dan menambah, penglibatan belia akan memperkasa koperasi di negara ini.

Mengenai ICC 2024, Ramanan berkata persidangan ini membuka ruang untuk semua pihak mengemukakan idea dan pandangan yang boleh memacu perkembangan koperasi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas