BERBAKI beberapa hari sebelum menjelangnya lebaran, bazar Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) terus menjadi tumpuan pengunjung untuk membeli barangan keperluan hari raya.
Susun atur khemah yang lebih tersusun oleh pihak pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berbanding tahun sebelumnya memudahkan laluan orang ramai untuk mendapatkan barangan seperti baju, kuih dan sebagainya.
Malah ketika waktu kemuncak terutama hujung minggu, pergerakan keluar masuk juga lebih terkawal.
Tinjauan Wilayahku baru-baru ini mendapati rata-rata pengunjung berpuas hati membeli-belah dalam keadaan ruang lebih luas malah yang paling utama keselamatan mereka terjamin kerana keadaan tapak tersusun memudahkan mereka ‘mencuci mata’.

Menurut salah seorang pengunjung, Khairy Azlan Rosdy, 44, sudah menjadi tradisi keluarganya berkunjung ke Jalan TAR untuk mencari persiapan Aidilfitri setiap tahun kerana lokasi tersebut adalah ‘syurga’ membeli-belah sejak dahulu lagi.
“Saya memang orang sini jadi setiap tahun akan datang ke Jalan TAR tambahan pula kami sekeluarga gemar mencari keperluan saat-saat akhir untuk mendapatkan feel raya itu sendiri.
“Tahun ini saya ada nampak kelainan sedikit dari segi susun atur khemah tapi bagi saya ia lebih bagus kerana ada penambahbaikan di mana pengunjung boleh lihat semua kedai.
“Bagi saya, susun atur tak menjadi masalah kerana pengunjung yang datang ke sini walaupun hanya untuk mencari butang baju Melayu tetapi bila tiba sahaja di Jalan TAR automatik mereka memang akan berjalan dari satu khemah ke khemah biarpun perlu bersesak,” katanya yang berasal dari Gombak.

Sementara itu, bagi Intan Maizura Abd Mudzafar, 38, pula, biarpun pada masa kini ramai yang lebih memilih untuk membeli-belah secara dalam talian, namun baginya kepuasan lebih terasa jika berkunjung ke kedai fizikal.
“Sibuk macam mana sekalipun, setiap kali menjelang lebaran, saya akan turun ke sini untuk merasai vibes tersebut.
“Tak dapat diungkap dengan kata-kata. Selain dapat lihat sendiri material serta tawar-menawar dengan peniaga, harga yang ditawarkan juga masih berpatutan tambahan lagi menjelang raya, banyak kedai yang menawaran diskaun.
“Bazar Jalan TAR ini menjadi antara lokasi yang wajib pergi setiap tahun kerana di sini mempunyai pelbagai jenis pilihan dan harga yang bersesuaian dengan bajet saya. Jujurnya bagi saya, lokasi ini akan sentiasa relevan sampai bila-bila. Tahun ini saya lihat meriah, lebih ramai peniaga dan lebih banyak pilihan. Diharapkan tahun-tahun akan datang pihak DBKL akan terus menambah baik lokasi tumpuan ramai ini,” jelasnya.

Bagi Zarina Arbangin, 46, dia akan meluangkan masa berada di lokasi tersebut bermula dari sebelum waktu berbuka puasa sehinggalah menjelang malam untuk merasai sendiri kemeriahan bersesak-sesak dengan pengunjung lain.
“Di sini selain datang untuk shopping, banyak pilihan menu untuk berbuka, parkir pun dekat dan sebagainya. Jadi, memang setiap tahun bazar Aidilfitri di Jalan TAR adalah lokasi pilihan kami sekeluarga. Sekarang saya lihat lokasi ini lebih meriah berbanding dulu-dulu.
“Dari segi kawasan memang selesa biarpun penuh dengan orang tapi kita mudah untuk keluar masuk kedai dan pergi kesemua khemah-khemah bazar Aidilfitri untuk memilih barangan dan sebagainya. Saya memang puas hati sebab barang yang dicari dapat dibeli dengan harga jauh lebih murah daripada yang saya sangkakan,” katanya yang datang bersama dua orang anaknya.
Turut berkongsi tip kepada pengunjung, Zarina berkata jika tidak mahu berbelanja lebih, pengunjung perlu menyediakan senarai barangan yang ingin dibeli kerana jika tidak, sudah pasti rambang mata memandangkan ‘syurga’ membeli-belah tersebut dipenuhi dengan pelbagai pilihan barangan. – WILAYAHKU