‘MARI bekerja bersama-sama saya, bukan bekerja untuk saya’.
Itu antara lontaran penegasan Tun Abdullah Ahmad Badawi atau mesra dipanggil Pak Lah, ketika mula-mula diangkat sebagai Perdana Menteri pada 2003.
Ayat penuh keramat itu jelas membuktikan betapa Pak Lah amat menitikberatkan kepada integriti dalam melaksanakan tugas membangunkan Malaysia, bukannya bekerja untuk mendapatkan perhatiannya semata-mata.
Pak Lah ketika itu membina identitinya tersendiri dalam memacu negara, amat berbeza daripada apa yang dibawakan negara oleh pentadbiran sebelumnya.
Pelbagai inisiatif dikemudinya, antara yang mendapat perhatian adalah Islam Hadhari, pembentukan beberapa koridor pembangunan ekonomi selain pembangunan modal insan dan industri halal.
Tahun lalu, Pak Lah diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Pembangunan Halal Negara sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024.
Tun dipilih untuk menerima Anugerah Khas tersebut atas peranannya mewujudkan ekosistem yang kukuh dalam memposisi industri halal Malaysia pada tahap kualiti dan kepercayaan global.
Kini, industri halal merupakan antara sektor yang paling pesat berkembang dengan nilai pasaran globalnya dijangka mencecah AS$5 trilion menjelang tahun 2030.
Dengan moto ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’, pastinya tidak boleh dilupakan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, pilihan raya pertama beliau selaku Perdana Menteri.
Ketika itu BN memenangi 198 daripada 220 kerusi Parlimen.
Ia dianggap mandat besar terhadap kepimpinan beliau yang sentiasa merendah diri dan paling penting, bersederhana.
Kini, biarpun sudah melalui beberapa Perdana Menteri, dari Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim, banyak inisiatif Pak Lah masih diteruskan terutama lima Koridor Ekonomi Malaysia.
Ia merangkumi Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Utara, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Pembangunan Sabah dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Begitu juga penekanan beliau terhadap bidang pertanian atau kini lebih terfokus kepada keterjaminan makanan dan industri halal yang meletakkan Malaysia selaku peneraju halal global.
Ketika era pentadbirannya juga, Pak Lah melihat penjenamaan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menunjukkan keseriusannya menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang, Pak Lah sebenarnya sudah mencipta nilai-nilai kepimpinan dan populariti ketika menerajui Kementerian Luar (1991-1999).
Ramai yang melihat beliau cukup baik menerajui kementerian berkenaan. Pak Lah sudah tiada. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.10 malam (14 April 2025) ketika negara sedang bersiap-siap untuk menerima lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Semoga rohnya Allahyarham Tun ditempatkan di sisi hambaNYA yang dikasihi. Al-Fatihah. – WILAYAHKU