Berita

Belanjawan DBKL 2025: Manfaatkan peruntukan sebaik mungkin

Foto: BERNAMA
- Diterbit 30 Disember 2024 11:57 AM MYT

GABUNGAN Persatuan Penjaja Kecil dan Peniaga Malaysia menyambut baik peruntukan kira-kira RM58.9 juta untuk membantu golongan berkenaan untuk terus menjalankan perniagaan menerusi program sedia ada, namun menyifatkan peruntukan tersebut wajar dinaikkan.

Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, peruntukan tersebut perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan memastikan projek yang dirancang dilaksanakan untuk kebajikan dan kemudahan golongan peniaga.

“Peruntukan ini perlu dipertingkatkan lagi untuk masa-masa akan datang berikutan golongan berkenaan yang berdaftar dengan persatuan adalah sebanyak 31,000 di seluruh Kuala Lumpur.

“Dengan jumlah berkenaan, saya amat mengharapkan agar pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat melaksanakan pembangunan peniaga dan penjaja kecil sekaligus memberi manfaat kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Beliau turut mencadangkan kepada DBKL dan Kerajaan Persekutuan supaya dapat meneliti tentang pembangunan dua kompleks pasar baharu di dua kawasan parlimen bagi membantu golongan peniaga kecil serta penduduk di kawasan terlibat.

“Persatuan mencadangkan pembangunan baharu Pasar Pudu berikutan pasar lama sangat usang yang dibina sejak tahun 1950-an. Selain itu, pembinaan pasar baharu di kawasan Parlimen Lembah Pantai yang dicadangkan bagi memberi kemudahan kepada peniaga dan penduduk berikutan tiada kompleks pasar di kawasan itu selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rosli berkata pihak DBKL khususnya perlu menyediakan kawasan khusus untuk peniaga food truck memandangkan tiada kawasan yang dibenarkan bagi memberikan peluang kepada usahawan berkenaan menjalankan perniagaan.

“Kalau kita lihat, peniaga food truck ini berniaga dalam keadaan yang bersih dan tempat yang disediakan terhad iaitu di Jalan Dungun dan di hadapan Menara Berkembar KLCC.

“Jadi dengan peruntukan yang ada, saya berharap DBKL dapat menyediakan lokasi khusus yang strategik untuk membantu golongan berkenaan selain memudahkan pemberian lesen perniagaan kepada mereka,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya kini mempunyai lebih 200 peniaga yang berdaftar dengan persatuan dan berharap agar DBKL dapat membantu usahawan berkenaan.

Sementara itu, beliau turut menyarankan agar DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan untuk meningkatkan rondaan bagi menangani pembinaan gerai baharu yang mencacatkan pemandangan.

“Gerai-gerai ini dibangunkan secara haram dan ia sedikit sebanyak memberikan imej buruk kepada peniaga kerana apabila tindakan diambil ia akan menyebabkan masalah lain.

“Oleh yang demikian, kami berharap agar DBKL dapat meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap gerai-gerai haram ini, khususnya di kawasan Kampung Pandan kerana pembinaannya kadangkala melampau termasuklah menyebabkan keadaan seperti setinggan dan ini memerlukan tindakan DBKL,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas