Berita

Belanjawan DBKL 2025: Landasan betul tingkatkan imej KL

INISATIF yang dilaksanakan di luar negara boleh dilaksanakan oleh DBKL dalam meningkatkan imejnya sebagai bandar raya terkemuka dunia
- Diterbit 30 Disember 2024 11:30 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited untuk mengubah Kuala Lumpur menjadi metropolis yang mampan, moden, mengutamakan kesejahteraan dan kemakmuran warganya, namun pada masa sama perlu meniru polisi dari pentadbir bandar raya dunia yang lain untuk dilaksanakan di Kuala Lumpur.

Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Zairul Mohd Noor, DBKL masih perlu menilai pendekatan dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh negara maju lain yang boleh diadaptasikan di Kuala Lumpur untuk memperkukuhkan kesan positif terhadap pembangunan bandar.

Katanya, walaupun DBKL telah membelanjakan sejumlah wang yang besar, namun model yang boleh dilaksanakan bertujuan memastikan Kuala Lumpur kekal berdaya tahan dan boleh menyesuaikan diri dengan keperluan masa hadapan, akhirnya memberi manfaat kepada semua warga kota dengan nilai inklusif.

“Langkah DBKL seperti pewartaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 adalah strategi yang baik. Contohnya di Copenhagen, Denmark, mereka telah mengintegrasikan pendekatan pembangunan lestari melalui pelan bandar yang memberi keutamaan kepada zon rendah karbon dan jaringan pengangkutan hijau.

“Bandar ini juga terkenal dengan ‘Finger Plan’ di mana pembangunan dipusatkan sepanjang koridor pengangkutan awam untuk mengelakkan penyebaran bandar tidak terancang. DBKL boleh meniru pendekatan ini dengan lebih agresif, seperti memperkenalkan zon pembangunan berintensiti rendah di kawasan sensitif alam sekitar,” katanya kepada Wilayahku pada Isnin.

Beliau berkata, menerusi Belanjawan DBKL 2025 yang memperuntukkan RM166.5 juta untuk pembangunan Rumah Majlis, ia boleh ditambah baik dengan mengambil model dari Vienna, Austria yang terkenal dengan perumahan awam berkualiti tinggi.

“Vienna bukan sahaja membina rumah mampu milik tetapi memastikan penyelenggaraan dilakukan secara konsisten melalui perkongsian kos dengan penduduk.

“DBKL boleh meneroka pendekatan ini dengan melibatkan penyewa dalam tanggungjawab penyelenggaraan kecil, sementara menumpukan peruntukan besar kepada pembaikan struktur utama,” katanya.

Sebagai seorang pakar dalam bidang perancangan bandar mampan, Mohd Zairul berkata isu kesesakan jalan raya antara perkara yang perlu tindakan secara komprehensif dan usaha untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi dengan kecerdasan buatan (AI) adalah langkah inovatif, tetapi perlu dilengkapi dengan pendekatan seperti yang digunakan di Singapura.

“Singapura menggunakan sistem Electronic Road Pricing (ERP) untuk mengurus kesesakan lalu lintas. Selain itu, integrasi pengangkutan awam seperti last-mile connectivity melalui bas mini elektrik atau skuter sewa juga boleh dipertimbangkan,” katanya.

Mohd Zairul berkata, inisiatif DBKL dalam usaha penghijauan bandar seperti Green Connector  adalah langkah penting dan beliau mencadangkan agar pentadbir bandar raya itu mencontohi Melbourne, Australia yang telah melaksanakan strategi Urban Forest  yang bertujuan meningkatkan liputan kanopi pokok untuk mengurangkan kesan haba bandar.

“DBKL boleh mencontohi program ini dengan melibatkan komuniti setempat dalam penanaman dan penjagaan pokok di kawasan perumahan dan komersial.

“Selain itu, New York City melalui projek High Line telah menukar landasan kereta api terbiar menjadi taman linear yang menjadi destinasi pelancongan. Konsep ini boleh diadaptasi untuk menghidupkan semula kawasan lama di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, Sesi Libat Urus (SLU) yang dilaksanakan DBKL adalah langkah proaktif, tetapi ia boleh diperkasakan dengan pendekatan seperti di Porto Alegre, Brazil, melalui Participatory Budgeting.

“Penduduk di kawasan ini diberikan kuasa untuk menentukan peruntukan bagi projek tertentu. DBKL boleh meneroka kaedah ini untuk memberi lebih banyak suara kepada komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA), terutamanya dalam isu penyelenggaraan dan pembangunan kawasan perumahan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kepada DBKL Pelan Jangka Panjang Infrastruktur Hijau demi kesejahteraan warga kota.

“Belanjawan yang besar untuk penyelenggaraan kawasan hijau perlu disertai dengan pelan strategik jangka panjang seperti yang dilakukan di Freiburg, Jerman, sebuah bandar yang dikenali sebagai bandar hijau model dunia.

“Freiburg mempunyai perancangan lestari yang merangkumi perlindungan kawasan tadahan air dan integrasi pertanian bandar,” katanya.

Tambahnya, dalam usaha memperluaskan teknologi digital dalam perancangan bandar, beliau mencadangkan DBKL mencontohi Seoul yang menggunakan sistem ‘Digital Twin’ untuk memodelkan bandar secara maya.

“DBKL boleh mengambil langkah serupa dengan menggunakan data trafik dan perancangan bandar untuk menguji kebijakan sebelum melaksanakannya di lapangan,” katanya.

Ujarnya, beliau percaya bahawa DBKL berada di landasan yang betul dengan Belanjawan 2025 ini namun, pelajaran daripada bandar-bandar di luar negara boleh memberi inspirasi kepada DBKL untuk memperhalusi dan memperhebatkan strategi sedia ada.

“Jika diberi peluang, saya sedia membantu DBKL untuk menerapkan idea-idea global ini dalam konteks tempatan, agar Kuala Lumpur benar-benar menjadi bandar yang Liveable & Loveable bagi semua,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas