Berita

Belanjawan DBKL 2025: KL bandar raya elit dunia

BELANJAWAN DBKL mampu menjadi pemangkin untuk memperolehi lebih banyak peluang pelaburan antarabangsa.
- Diterbit 30 Disember 2024 11:42 AM MYT

BELANJAWAN Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2025 yang dibentangkan pada Khamis lalu merupakan pelan kewangan strategik yang bertujuan untuk memupuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial di Kuala Lumpur.

Dengan tumpuan kepada pembangunan bandar yang mampan, belanjawan memperuntukkan sumber yang besar ke arah penambahbaikan infrastruktur, kemudahan awam dan inisiatif hijau. Pendekatan berfikiran ke hadapan ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup penduduk tetapi juga mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan asing.

Dengan mengutamakan projek yang meningkatkan aktiviti ekonomi dan kesejahteraan sosial, Kuala Lumpur meletakkan dirinya sebagai destinasi menarik untuk pelabur global, menjanjikan masa depan yang bertenaga dan makmur untuk bandar raya dan warganya.

Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad, melihat kepada pembentangan Belanjawan  DBKL 2025 yang memperuntukkan sejumlah RM2.84 bilion dengan pecahan peruntukan sebanyak RM2.20 bilion bagi tujuan mengurus dan RM0.64 bilion bagi tujuan pembangunan, belanjawan kali ini dilihat lebih ideal dan realistik dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Elit Dunia dalam jangka masa lima tahun dari sekarang.

“Dengan bertemakan ‘Kuala Lumpur Lestari, Warga Kota Sejahtera’ sebagai paksi, belanjawan kali ini dilihat bersifat lebih komprehensif dengan tumpuan kepada beberapa sektor atau industri terkini mengikut keperluan semasa seperti teknologi hijau, bandar rendah karbon, peralihan guna tenaga solar, pemampanan ekonomi domestik dan keselamatan serta keharmonian komuniti menjadi keutamaan.

Menurut Bashir, antara yang diberi tumpuan dalam belanjawan kali ini adalah kepada kesejahteraan dan keharmonian warga masyarakat ibu kota termasuk warga emas dan yang berpendapatan rendah dengan peruntukan hampir kepada RM130 juta.

“Antara kemudahan yang disediakan adalah pengangkutan bas percuma yang menelan belanja sebanyak RM45 juta dan RM10 juta bagi pengurusan bas sekolah kepada murid sekolah daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

“Selain itu, peruntukan RM5.5 juta juga disediakan bagi tujuan aktiviti sosial, gotong-royong dan pembangunan serta bantuan sosial kepada warga kota dengan penambahan sebanyak RM15.3 juta lagi untuk program-program khas komuniti terutama kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan gelandangan,” katanya.

Bashir berkata, menerusi belanjawan tersebut, antara perkara yang turut diberi tumpuan adalah penambahbaikan kepada sistem mampan banjir melalui Program Mitigasi Banjir yang akan menelan belanja sebanyak RM89 juta dan juga perbelanjaaan kepada sektor keselamatan dan lalu lintas yang berjumlah hampir kepada RM180 juta.

“Kedua-dua strategi dan perbelanjaan ini adalah amat penting dalam memastikan bandar raya Kuala Lumpur kekal dominan sebagai bandar raya yang bebas dari ancaman air pasang yang boleh merugikan sektor ekonomi domestik serta indeks keselamatan yang lebih terjamin dalam memastikan ia kekal ideal sebagai hab pelaburan terutama pelaburan asing yang inginkan suasana persekitaran ibu kota yang konduksif dan efektif untuk menarik keyakinan pelabur,” katanya.

Tambah beliau, usaha DBKL dalam memacu sektor-sektor yang terkini seperti teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) serta memberi tumpuan kepada Bandaraya Rendah Karbon dan peralihan guna tenaga baru adalah dilihat sebagai satu langkah yang bijak dalam menarik pelabur dalaman dan asing untuk menerokai bidang dan industri ini dengan komprehensif.

Menurut Bashir, DBKL juga dilihat berusaha menangani integrasi teknologi digital dan inisiatif hijau dalam mewujudkan peluang pelaburan yang mampan di Kuala Lumpur menerusi peruntukan hampir RM300 juta kepada industri atau sektor tersebut.

“Sektor teknologi hijau dan digital adalah dilihat sebagai satu langkah permulaan dan persiapan yang baik dalam memastikan Kuala Lumpur dapat menepati hasrat Kerajaan MADANI sebagai bandar raya bebas karbon dan bandar raya digital serta berlestari hijau dalam jangka masa lima tahun ini dapat dicapai.

“Dengan tumpuan dan hala tuju yang jelas oleh DBKL ke arah ini, ia akan memberi isyarat nyata kepada pelabur luar mengenai sektor dan bidang mana yang perlu mereka beri tumpuan untuk pelaburan dalam jangka masa lima tahun ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas