Berita

Belanjawan 2025 tumpu tangani kos sara hidup – PM Anwar

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 6 Ogos 2024 12:02 PM MYT

PEMBENTANGAN Belanjawan 2025 pada Oktober ini akan memfokuskan mengenai dasar untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau telah meminta Kementerian Kewangan untuk mencari formula demi mengurangkan beban rakyat.

“Harga gula, minyak, tepung, minyak masak kita paling murah, tapi bagi rakyat Malaysia masih rasa terbeban.

“Jadi, sebab itu kita dalam belanjawan ini, selain isu yang kita bicarakan hal ini juga kita harus tangani masalah kartel, monopoli, apa punca harga barang naik,” kata beliau pada majlis himpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata antara punca kos barang meningkat adalah disebabkan ketirisan, rasuah, penyeludupan, dan keuntungan berlebihan melalui kartel.

Beliau berkata disebabkan itu, kerajaan kini sedang cuba mengatasi melalui pelbagai pendekatan dan antaranya termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada Jun lalu.

Katanya, pelaksanaan penyasaran subsidi itu menjimatkan perbelanjaan negara sebanyak RM 4 bilion.

“Jadi yang boleh kita pada peringkat ini dengan ekonomi yang lebih kukuh dan ampuh mula menerobos ke bidang yang kita anggap penting bagi negara kita,” katanya.

Pada 10 Jun lalu, Menteri Kewangan 11, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang melibatkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai Budi MADANI.

Kerajaan telah menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter di stesen-stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.

Harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas