Berita

Belanjawan 2025: Tingkat keselesaan rakyat

- Diterbit 11 Oktober 2024 9:00 AM MYT

BELANJAWAN 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini harus menumpukan bagaimana untuk meningkatkan lagi keselesaan hidup rakyat, kata ahli ekonomi.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, UKM (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata beberapa masalah utama terutama ekonomi itu mesti akhirnya perlu sampai kepada rakyat.

“Saya rasa di Malaysia, kita tahu masalah utama dan cabaran-cabaran utama untuk negara. Pembangunan ekonomi di rancangan Malaysia lima tahun atau Belanjawan ini semua tentang apa yang kerajaan nak buat. Contohnya Belanjawan tahun hadapan.

“Nak buat apa tahun depan. Saya rasa beberapa masalah utama terutama ekonomi ini mesti akhirnya kena sampai kepada rakyat. Itu paling penting untuk memastikan rakyat dapat hidup dengan selesa,” katanya. Wilayahku  meninjau pandangan beberapa penjawat awam dan swasta. Ikuti apa kata mereka.

 

“SUDAH semestinya kami menanti apakah insentif-insentif yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025 ini. Mungkin ada perkhabaran gembira berkenaan insentif pengurangan cukai individu

Diharapkan ia akan memberikan lebih manfaat bukan sahaja kepada penjawat awam tetapi juga kepada kakitangan swasta.

Selain daripada itu, saya mengharapkan kerajaan turut memberi tumpuan kepada pengamal media agar industri media di negara ini terus berkembang maju seiring peranan pentingnya dalam menjadi wadah penyampaian maklumat.”

DILLA NAWAWI
Penjawat awam

 

“SEBAGAI penjawat awam, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mengumumkan berita gembira iaitu kenaikan gaji sebanyak 15 peratus (%) yang akan dilaksanakan pada Disember ini.

Diharapkan juga pihak kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan bantuan elaun khas memandangkan ibu bapa akan berdepan dengan perbelanjaan yang tinggi untuk persekolahan anak pada Februari selain membuat persiapan menyambut bulan Ramadan dan Aidilfitri pada Mac.”

HANNA NOORDIN
Penjawat awam

 

“SEPERTI kelompok etnik lain, kaum India memerlukan perhatian khusus untuk memastikan kesejahteraan mereka terjaga dan inklusif dalam pembangunan negara.

Berikut adalah beberapa perkara utama yang mungkin diharapkan oleh komuniti India di Malaysia antaranya dari segi peningkatan pendidikan, Pembangunan ekonomi dan usahawan, pekerjaan dan pembangunan karier, pemilikan rumah dan kemudahan asas, kesejahteraan sosial dan kesihatan serta pengiktirafan kebudayaan dan bahasa.”

THARMARAJ SUNDRAN
Penjawat awam

 

“SAYA berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi perhatian kepada kebajikan penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang mana ia dapat mengurangkan beban sara hidup penjawat awam terutamanya kakitangan sokongan.

Diharapkan juga kerajaan dapat memberi perhatian khusus terhadap permohonan penjawat awam untuk mendapatkan kuarters bagi mereka yang tidak mampu membeli rumah. Ini kerana ramai yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkannya.”

NORSUZIANA SHARIP
Penjawat awam

 

“BAJET kali ini perlu dikategorikan kepada dua bahagian iaitu melibatkan orang muda dan golongan veteran. Kalau orang muda pastikan pendidikan diutamakan, subsidi atau alternatif lain seperti pinjaman dengan bayaran balik lebih rendah dapat mengurangkan tanggungan pengajian.

Bantuan sara hidup pula sesuai buat orang lama khusus mereka tidak berpencen. Diharap Bajet 2025 ini lebih mesra rakyat yang membantu kerajaan dalam membangunkan negara ke arah lebih baik.”

AHMAD TAJOL ARUS
Penjawat awam

 

“KERAJAAN Negeri perlu meneruskan bantuan diberikan sebelum ini kepada penduduk kampung khususnya.

Sekarang kita lihat ekonomi orang kampung sudah banyak menurun, jadi saya rasa bantuan sara hidup perlu disuarakan pada setiap kali pembentangan bajet. Fikirkan bagaimana untuk meningkatkan pendapatan penduduk khususnya orang-orang kampung.”

SASHA KAMARUDIN
Kakitangan swasta

 

“SALAH satu jangkaan utama warga pendidik dalam Bajet 2025 adalah penambahbaikan pendidikan digital di bawah Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan. Infrastruktur berkualiti adalah penting untuk pendidikan Malaysia.

Kami berharap inisiatif ini akan dilaksanakan di semua universiti, bukan hanya beberapa universiti terpilih. Perkata itu disokong oleh pembiayaan yang besar untuk infrastruktur, akses internet, peranti, latihan untuk para pensyarah dan banyak lagi.”

SAMASUDIN LAWE
Penjawat awam

 

“BELANJAWAN 2025 perlu memperuntukkan sumber yang mencukupi untuk meningkatkan tahap pendidikan dan latihan kemahiran bagi menyediakan tenaga kerja yang mampu memenuhi permintaan industri teknologi tinggi. Kerajaan perlu memperkenalkan program-program latihan kemahiran yang khusus dalam bidang seperti pengaturcaraan, kejuruteraan perisian, data sains dan automasi.

“Melalui inisiatif seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Belanjawan 2025 boleh menyokong pembinaan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing sekali gus mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan serta meningkatkan produktiviti tenaga kerja negara.”

HAZWANI ROSAID
Penjawat awam

 

“KERAJAAN perlu memperuntukkan dana dan insentif khas untuk menarik pelabur asing dan tempatan ke dalam sektor-sektor ini. Pelaburan dalam teknologi tinggi juga penting untuk membantu Malaysia mencapai sasaran pembangunan yang mampan.

Sebagai contoh, pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dapat mengurangkan pergantungan negara kepada sumber tenaga fosil dan memperbaiki kualiti alam sekitar, sementara pelaburan dalam automasi dan AI mampu meningkatkan produktiviti dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.”

SITI NURMIE
Kakitangan swasta

 

“HARAPAN saya untuk Bajet 2025 Kerajaan MADANI perlu menilai semula harga makanan yang dijual kerana ia semakin mahal meskipun berlaku penurunan harga bahan mentah. Mungkin pemberian subsidi bahan mentah boleh diberikan kepada peniaga supaya dapat mengurangkan harga makanan .”

ADIBAH HASSAN  NOORHADI
Penjawat awam

“DIHARAPKAN kerajaan dapat memberi fokus terhadap isu harga rumah yang semakin meningkat di mana mungkin kerajaan boleh mengadakan skim sewa beli atau wujudkan insentif lebih mudah dalam membantu pembeli rumah pertama khususnya.

Selain itu, fokus juga perlu diberikan terhadap pendidikan anak-anak dan diharapkan pembiayaan tambahan dapat diberikan kepada program-program latihan serta kemahiran manakala untuk pendidikan tinggi perlu adakan bantuan biasiswa atau pinjaman yang lebih mudah diakses oleh pelajar sendiri. Ia juga dapat membantu meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita.”

AFZA LIZA AHMAD SUHAIMI
Penjawat awam

 

“SAYA berharap dasar-dasar yang akan dibentangkan dapat memfokuskan kepada program pemulihan ekonomi yang menyokong sektor yang terjejas terutama kecil dan sederhana. Seterusnya, pembangunan infrastruktur yang seimbang antara luar bandar dan di bandar, sebagai contoh terdapat banyak infrastruktur kemudahan awam di luar bandar yang amat daif dan tidak boleh digunakan oleh masyarakat setempat.

Selain itu, pendekatan yang inklusif perlu diambil oleh kerajaan untuk memastikan Bajet yang dibentangkan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat dan bukannya tertumpu kepada segelintir golongan sahaja. Besar harapan saya sebagai pekerja swasta untuk Bajet 2025 yang akan dibentangkan nanti kerana tekanan kos sara hidup yang kian meningkat.”

MUHAMMAD FADHZLI DZHIL IKRAM AHMAD SAMSURA
Kakitangan swasta

 

“SAYA sangat berharap Bajet 2025 nanti akan lebih memberi fokus terhadap gaji minimum mengikut sektor kerana terdapat juga beberapa kes yang sering diperkatakan ramai di mana mereka yang bekerja dalam profesional namun gaji  yang diperoleh sama seperti mereka yang tidak mempunyai pendidikan atau kemahiran.

RASIDA HANNAN ROSSLE
Kakitangan swasta

– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas