Berita

Belanjawan 2025: Tangani korupsi

Gambar hiasan
- Diterbit 11 Oktober 2024 9:10 AM MYT

BELANJAWAN 2025 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini perlu memberikan fokus dan komitmen berterusan dalam memerangi rasuah.

Perkara itu ditegaskan Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun ketika diajak berbicara mengenai jangka panjang yang hendak dicapai dalam pembentangan belanjawan kali ini.

Beliau yang juga Felo Kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura berkata, perkara itu penting bagi membina keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

“Kerajaan Perpaduan Malaysia juga perlu memberikan komitmen kepada reformasi struktur pentadbirannya.

“Ini adalah untuk jangka masa panjang supaya Malaysia terus mendapat keyakinan pelabur asing mahupun domestik,” katanya kepada Wilayahku.

Beliau memberitahu, usaha memerangi rasuah walaupun tidak dianggap sebagai item belanjawan secara langsung, ia tetap penting untuk membina persekitaran yang bersih dan efisien terutama membentuk aktiviti perniagaan yang sihat.

“Oleh itu belanjawan boleh memperuntukkan lebih banyak dana untuk aktiviti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta untuk kempen kesedaran awam menentang rasuah,” tegasnya.

Penekanan kepada isu memerangi rasuah itu bertepatan dengan usaha meningkatkan skor dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) selaras penetapan sasaran kedudukan Malaysia di tangga ke-25 teratas dunia menjelang tempoh 10 tahun.

Di samping itu kata Ei Sun, kerajaan perlu memfokuskan kepada sektor-sektor yang menunjukkan pertumbuhan pesat termasuk sektor berteknologi tinggi.

Katanya, ini turut merangkumi pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memudahkan sektor syarikat pemula (start up) memasuki pasaran.

Beliau berkata Belanjawan 2025 perlu memasukkan insentif untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan penyedia utama pekerjaan di negara ini.

Ia katanya, merupakan langkah jangka sederhana yang seharusnya diusahakan kerajaan bagi memperkasa PKS.

“Untuk jangka pendek, saya berpendapat belanjawan itu harus memberikan bantuan atau subsidi yang disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah untuk menyokong kehidupan asas mereka,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas