DASAR perumahan belia semasa di negara ini, walaupun dengan niat yang baik, tidak sepenuhnya menangani isu asas berkaitan kemampuan memiliki rumah dan akses saksama terhadap pemilikan rumah bagi golongan muda.
Perkara itu ditegaskan pakar perumahan, Profesor Madya Dr Mohd Zairul Mohd Noor yang melihat inisiatif yang diperkenalkan terutamanya mengenai peningkatan gaji minimum dan pengembangan skim perumahan dalam Belanjawan 2025 memberikan asas yang baik.
Namun katanya terdapat masalah berterusan yang memerlukan pendekatan yang lebih disasarkan untuk memastikan golongan muda dapat memiliki dan mengekalkan rumah pertama mereka sambil membendung amalan penyewaan sublet yang semakin berleluasa.
Sublet merujuk kepada seorang penyewa menyewakan rumah sewa mereka kepada individu lain sementara mereka masih lagi berada di dalam perjanjian bersama-sama tuan rumah sewa tersebut.
“Salah satu cabaran utama adalah memastikan kesaksamaan dalam akses kepada perumahan untuk belia dan pembeli rumah kali pertama. Masalah kemampuan masih menjadi kebimbangan utama dengan harga hartanah yang sering melebihi pertumbuhan pendapatan golongan profesional muda.
“Kajian mengenai kemampuan perumahan menunjukkan walaupun pelbagai dasar perumahan mampu milik diperkenalkan, masih terdapat ketidaksepadanan yang ketara antara penawaran perumahan mampu milik dan kemampuan golongan berpendapatan rendah serta belia untuk mendapatkan pembiayaan,” katanya kepada Wilayahku.
Beliau menambah bagi meningkatkan ekuiti, Malaysia boleh meneroka model ekuiti-perkongsian atau pemilikan progresif.
Katanya model-model ini membolehkan pembeli muda membeli sebahagian daripada hartanah sambil menyewa bahagian selebihnya daripada badan perumahan awam atau pemaju swasta.
“Dari semasa ke semasa, apabila situasi kewangan mereka bertambah baik, mereka boleh meningkatkan pemilikan hartanah mereka secara beransur-ansur. Pendekatan ini telah berjaya di United Kingdom dan Australia, memberikan fleksibiliti kepada pembeli muda tanpa memaksa mereka ke dalam tekanan kewangan jangka panjang,” jelasnya.
Katanya selain itu memperkenalkan skim sewa-milik yang khusus menyasarkan golongan muda boleh menyediakan jalan alternatif kepada pemilikan rumah.
“Kerajaan boleh bekerjasama dengan pemaju dan institusi kewangan untuk mewujudkan program sewa-milik yang lebih tersusun dan telus.
“Satu lagi penyelesaian inovatif adalah dengan mempromosikan koperasi perumahan belia, yang boleh menawarkan laluan yang lebih komunal dan mampu milik kepada pemilikan rumah.
“Koperasi telah terbukti berkesan di negara seperti Jerman dan Denmark, menyediakan kestabilan jangka panjang dan mencegah amalan spekulatif seperti penyewaan sublet, kerana semua keputusan dibuat oleh ahli koperasi itu sendiri.
“Akhir sekali meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan belia adalah penting untuk memastikan mereka bersedia untuk tanggungjawab pemilikan rumah,” tambahnya. – WILAYAHKU