Berita

Belanjawan 2025: Pertimbang hak kesatuan sektor gig

SETAKAT ini terdapat lebih 200,000 penghantar p-hailing yang berdaftar di seluruh negara. - Foto: BERNAMA
- Diterbit 18 Oktober 2024 12:16 PM MYT

KERAJAAN perlu mempertimbang cadangan aktivis-aktivis atau persatuan pekerja sektor gig untuk hak kesatuan (union) agar suara mereka dapat diangkat sama seperti pertubuhan-pertubuhan pekerja lain.

Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata ini kerana mereka tiada wakil untuk menyuarakan pandangan atau berunding dengan kerajaan seperti kesatuan yang ada di dalam Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC).

Beliau memberitahu, ini kerana sektor gig adalah sektor masa depan yang perlu dipandang serius semua pihak.

“Melalui suatu akta baharu yang akan dibentangkan kerajaan di Parlimen tidak lama lagi berkaitan pekerja gig, empat perkara dimaktubkan iaitu penetapan kadar upah, penyelesaian pertikaian atau pengurusan kilanan, perlindungan sosial serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Perkara kelima iaitu hak kesatuan, itu memang kita tuntut kerana suara kami tiada dalam NLAC. Kita kena ada wakil di dalamnya,” katanya kepada Wilayahku.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Rang Undang-Undang berkaitan kebajikan pekerja gig dijangka dibentang untuk bacaan kali pertama pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang berlangsung sehingga Disember ini.

Beliau berkata penggubalan akta itu perlu dibuat berikutan hanya kira-kira 250,000 daripada 1.16 juta pekerja gig di negara ini yang mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Kerajaan juga memutuskan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig secara formal yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Suruhanjaya itu tidak hanya meliputi pekerja e-hailing dan p-hailing semata-mata tetapi meliputi pekerja separa masa dan separa profesional yang termasuk di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Ekonomi gig di Malaysia mengalami perkembangan dan kepelbagaian yang pesat merangkumi pelbagai industri dan sektor selain daripada e-hailing dan p-hailing seperti penjagaan kesihatan, automotif, perkhidmatan domestik serta perkhidmatan kreatif dan profesional.

Sehingga tahun lepas, terdapat lebih 140 platform ekonomi gig yang disahkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) (sebelum kementerian itu dipisahkan) sejak 2014.

Menurut MDEC, dianggarkan sebanyak 1.12 juta individu menyertai pekerjaan gig untuk menjana pendapatan sama ada secara sampingan atau sumber tetap pada 2022.

Mengulas lanjut, Jose berkata jika wakil pekerja gig atau kesatuan tiada di dalam NLAC, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk membawa suara atau memperjuang nasib golongan itu.

“Kita ada aspirasi kita sendiri, jadi kerajaan kena iktiraf kita sebagai perwakilan,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengalu-alukan usaha kerajaan untuk membentangkan suatu akta baharu yang berkaitan dengan pekerja gig. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas