BELANJAWAN 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini harus menumpukan bagaimana untuk meningkatkan lagi keselesaan hidup rakyat, kata ahli ekonomi.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, UKM (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata beberapa masalah utama terutama ekonomi itu mesti akhirnya perlu sampai kepada rakyat.
“Saya rasa di Malaysia, kita tahu masalah utama dan cabaran-cabaran utama untuk negara.
“Pembangunan ekonomi di rancangan Malaysia lima tahun atau belanjawan ini semua tentang apa yang kerajaan nak buat. Contohnya belanjawan tahun hadapan. Nak buat apa tahun depan. Saya rasa beberapa masalah utama terutama ekonomi ini mesti akhirnya kena sampai kepada rakyat. Itu paling penting,” katanya.
Menurut Noor Azlan lagi, kerajaan boleh membawa masuk industri, teknologi hijau, Kecerdasan buatan (AI), pembangunan, dan infrastruktur tetapi semua itu akhirnya mesti sampai kepada rakyat.
Beliau berkata perkara paling penting sekali untuk memulihkan rakyat dapat hidup dengan selesa.
“Beliau berkata kemiskinan tidak ada masalah. Cumanya menjadi kerisauan lagi besar yang kadang-kadang tak nampak ialah keselesaan hidup rakyat.
“Untuk selesa lebih tinggi daripada miskin. Miskin ini 6.2 peratus (%) rakyat Malaysia kalau dalam data 6.2% isi rumah dianggap miskin maksudnya miskin mutlak dan ke bawah.
“Tetapi kalau kita tengok data balik kita dapati bahawa mungkin hampir 50% rakyat Malaysia tidak dapat hidup dengan selesa,” katanya.
Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata salah satu cara untuk meningkatkan atau membolehkan rakyat dapat hidup dengan lebih selesa adalah peluang pendapatan rakyat.
Beliau berkata mungkin kerajaan boleh menumpukan kepada kumpulan yang dianggap terkesan yang di bawah seperti golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40).
“Separuh daripada M40 mungkin juga kehidupan mereka tidak selesa. Jadi peluang pekerjaan kalau perdana menteri selalu guna pekerjaan yang bermaruah dan pekerjaan yang bermakna maksudnya boleh beri pendapatan yang baik itu satu perkara yang penting,” katanya.
Tambah Noor Azlan yang kedua pula di Malaysia pertumbuhan dan kerancakkan ekonomi negara sangat bergantung kepada empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
“60% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara datang daripada empat negeri itu. Jadi penumpuan mesti ada daripada wilayah yang terkebelakang. Sembilan negeri lain dia terperangkap dalam pendapatan rendah dan pertumbuhan rendah,” katanya.
Noor Azlan berkata beliau mahu melihat satu tindakan yang lebih berfokus untuk kumpulan yang tertekan iaitu wilayah yang agak terkebelakang.
“Saya rasa dua itu sangat penting untuk kita tengok dalam Belanjawan 2025 nanti. Di samping usaha untuk memajukan ekonomi membawa teknologi tinggi, meningkatkan kecanggihan ekonomi.. semua itu penting, tetapi saya rasa pada rakyat yang bermakna mungkin dua perkara tadi,” katanya. – WILAYAHKU