Berita

Belanjawan 2025: Peningkatan peruntukan R&D bantu MOSTI perkukuh inovasi negara

- Diterbit 4 November 2024 9:19 PM MYT

PENINGKATAN peruntukan yang diterima oleh Kementerian Sains, Teknologi dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilihat mampu membantu memperkukuh sektor inovasi di negara ini.

Menterinya,  Chang Lih Kang berkata, peruntukan R&D yang ditingkatkan kepada RM600 juta berbanding RM510 juta sebelum ini membuktikan kerajaan mengambil perhatian serius dalam pelaburan berkaitan bidang tersebut.

“Kita boleh lihat pada dasarnya, banyak kementerian yang dipotong bajetnya, tetapi kami (MOSTI) dapat mempertahankan bajet bernilai RM1.2 bilion.

“Selain itu, kita juga dapat lihat peningkatan dalam peruntukan bagi R&D daripada  RM510 juta kepada RM600 juta tahun hadapan dan ia adalah sesuatu yang positif,” katanya dalam satu kenyataan media di sini baru-baru ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Beliau menambah, walaupun dana tersebut perlu dikongsi bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) namun ia masih membuktikan bahawa kerajaan sangat serius dalam pelaburan untuk bidang R & D.

“Dalam pada itu, RM170 juta Dana Malaysia Science Endowment (MSE) manakala RM65 juta dana membantu syarikat mula niaga dan tidak ketinggalan kerajaan turut memperuntukkan RM10 juta bagi Program Malaysia Techlympics,” ujarnya.

Chang Lih Kang ketika Program AI Beliau Perkasa Penggunaan AI dalam kalangan generasi muda.

Katanya, dalam keadaan ekonomi ketika ini, peningkatan dana tersebut adalah perlu untuk perkembangan bidang sains dan teknologi.

“Saya rasa ini adalah sesuatu yang positif kerana apabila melihat keadaan ekonomi sekarang, jika  tidak serius dalam R&D, kerajaan tidak akan melabur lebih dalam R&D,” katanya.

Sebelum ini, MOSTI mencadangkan peruntukan dalam Belanjawan 2025 bagi R&D ditingkatkan supaya memperkukuh sektor inovasi negara.

Peningkatan pelaburan dalam R&D amat penting bagi mencapai sasaran Malaysia untuk berada dalam kedudukan 30 teratas dunia dalam Indeks Inovasi Global (GII) menjelang 2025.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang merasmikan Simposium Antarabangsa ke-19 mengenai Biopolimer 2024 yang membawa tema, “Towards Safe and Sustainable Biopolymers for Our Future” di Setia Spice Convention Center Pulau Pinang, dan dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Biologi,Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM Malaysia) dan Bioeconomy Corporation (BEC) baru-baru ini.

Mengulas lanjut Lih Kang berkata, Malaysia menghadapi cabaran dalam mengkomersialkan projek R&D disebabkan kekurangan kerjasama antara pemain industri dan sektor kerajaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas