PENGGIAT seni tanah air melahirkan rasa teruja dengan peruntukan sejumlah RM160 juta dalam Belanjawan 2025 bagi melaksanakan pelbagai inisiatif sekali gus menyokong bakat kreatif tempatan.
Malah, terdapat penambahan RM5 juta untuk Dana Kandungan Digital (DKD) menjadikan jumlahnya meningkat sebanyak RM65 juta berbanding RM60 juta sebelum ini bagi mempromosi karya-karya terutamanya yang berteraskan semangat kenegaraan.
Hampir RM40 juta juga turut disediakan di bawah Insentif Filem di Malaysia (FIMI) bagi menyokong penerbitan filem antarabangsa di Malaysia manakala MyCreative Ventures pula menerima peruntukan RM25 juta.
Sementara itu, RM30 juta pula diperuntukkan bagi program Belia Kreatif MADANI untuk menarik hampir 16,000 anak muda menceburi bidang seni.
Wilayahku berkesempatan menemu bual barisan selebriti popular, Datuk Afdlin Shauki, Anna Jobling dan Shah Iskandar yang melahirkan rasa bersyukur atas sokongan kerajaan terhadap bakat seni.
Bangu industri kreatif
PERUNTUKAN RM30 juta menerusi Program Belia Kreatif MADANI seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, jelas memperlihatkan sokongan kerajaan terhadap bakat seni.
Menurut Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki, ia akan dapat membantu pembangunan industri kreatif.
“Usaha ini adalah satu langkah penting dalam memastikan penglibatan generasi baru dalam bidang seni dan seterusnya mencipta karya yang berkualiti.
“Sebagai Pengerusi FDAM, saya amat berbangga dengan usaha kerajaan untuk memberi tumpuan kepada generasi belia melalui Program Belia Kreatif MADANI.
“Ini bukan sahaja membuka peluang kepada belia untuk menceburi bidang seni tetapi juga memperkukuhkan lagi industri kreatif Malaysia.
“FDAM sentiasa menyokong inisiatif seperti ini kerana ia seiring dengan misi kami untuk membangunkan bakat-bakat baharu serta menyediakan platform yang kukuh bagi mereka berkembang,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau berkata inisiatif ini seiring dengan matlamat FDAM untuk memperkasa generasi muda dalam industri kreatif tanah air terutamanya dalam bidang pengarahan dan penerbitan filem.
“Ini juga memberi peluang kepada kami untuk terus menyediakan latihan dan bimbingan selaras dengan visi kami. Tambahan lagi FDAM baru selesai menjayakan Bengkel Inkubator Pengarah Amatur FDAM 2024 pada 12 hingga 18 Oktober lalu,” ujar beliau.
Terus beri sinar
PELAKON yang sedang melebarkan sayap di Indonesia, Anna Jobling mengakui keprihatinan kerajaan kepada penggiat seni adalah salah satu pemangkin kemajuan industri seni.
Bagi Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 24, peruntukan tersebut dapat digunakan sebaik-baiknya demi masa depan industri kreatif.
“Sebagai anak seni, sudah tentu saya berterima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa menyokong penggiat seni. Dana yang diberikan adalah salah satu tanda sokongan untuk melihat industri ini terus berkembang.
“Tanpa sokongan dana, agak sukar untuk kita memartabatkan industri. Dengan karya yang bagus disokong oleh dana, pasti hasilnya yang terbaik. Semoga ia terus memberi sinar kepada industri.
“Kadang-kadang, ada sesetengah pihak yang ada karya bagus tetapi terbantut usahanya kerana tiada dana yang cukup. Sebab itulah, sokongan daripada kerajaan sangatlah penting,” ujarnya.
Bercerita lanjut tentang kerjaya, Anna tidak menafikan pencapaian dapat menembusi negara seberang adalah pengalaman termanis buatnya sebagai pelakon.
“Alhamdulillah, impian saya tercapai apabila dapat mengembangkan karier lakonan di Indonesia yang sememangnya menjadi cita-cita saya sejak dari awal pembabitan dalam dunia lakonan lagi.
“Jadi saya rasa penerimaan peminat dan penonton itu yang paling meninggalkan impak. Sangat tak percaya saya ada filem dan sebuah siri OTT dengan produksi sana. Selain itu, saya juga dapat membintangi beberapa naskhah yang sangat bagus di Malaysia,” ujarnya.
Beri peluang produksi baharu
PEMENANG Pelakon TV Lelaki Popular di ABPBH 36, Shah Iskandar berharap peruntukan daripada kerajaan akan memantapkan lagi industri filem Malaysia.
“Alhamdulillah, pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) perlu memilih pihak yang benar-benar berkelayakan untuk diberi sokongan. Tanpa menidakkan produksi yang memang terbukti kehebatan mereka, dalam masa yang sama, beri peluang kepada produksi yang belum ada track record filem tapi mempunyai karya yang bagus.
“Jadi bahagi dana ini sama rata kepada yang layak, dalam masa yang sama FINAS boleh terus memantau agar penggambaran filem itu memang sedang berjalan dan mengikut apa yang telah dipersetujui. Ini termasuklah melihat bagaimana mereka menjaga kualiti filem itu.
“Kualiti ini ada pelbagai aspek seperti karya, pelakon, krew dan sebagainya, perlu ditekankan agar filem yang dihasilkan boleh dibanggakan di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa,” katanya.
Shah turut mengakui keprihatinan kerajaan terhadap industri kreatif ini sedikit sebanyak memberi dorongan kepada anak-anak seni untuk terus melakukan yang terbaik.
“Filem tempatan sekarang sudah ke arah peringkat lebih baik terutama dari segi penerimaan penonton. Bukan saja di Malaysia, malah di luar negara seperti Indonesia dan negara lain,” ujarnya.