DALAM berdepan dengan pelbagai situasi yang tidak menentu bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara terus terbela, melalui pembentangan Belanjawan 2025 kita dapat menyaksikan kesungguhan kerajaan dalam terus membantu rakyat untuk berdepan pelbagai situasi dan keadaan agar kesejahteraan, kestabilan dan keamanan terus dapat dikekalkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Umumnya mengetahui bahawa berbanding bajet yang pernah dibentangkan sebelum ini, Belanjawan 2025 merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM421 bilion. Bajet yang disusun ini mengambil kira kerangka Ekonomi MADANI yang telah digariskan oleh pihak kerajaan khususnya dalam membela nasib rakyat dan memastikan kesejahteraan warga di semua peringkat.
Ini jelas dalam ucapan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan langkah-langkah yang diambil beliau selama dua tahun ini.
Pengumuman jumlah RM421 bilion ini sama sekali menunjukkan kesungguhan dan iltizam kerajaan memastikan setiap peruntukan itu akan disalurkan kepada sektor-sektor strategik seperti teknologi hijau dan pembangunan industri.
Ini selaras dengan pelan strategik sedia ada yang menekankan usaha daya cipta dan budaya inovatif yang akan membantu mereformasi pemikiran inovatif masyarakat dalam berdepan cabaran teknologi semasa terutamanya teknologi kecerdasan buatan yang membuka peluang baharu dan luas kepada sektor-sektor penting dalam negara ini.
Langkah diambil ini bakal memanfaatkan guna tenaga baharu dalam bidang kepakaran sedia ada yang memfokuskan kepada pembuatan, inovasi dan daya cipta yang boleh diterokai dan dimanfaatkan oleh semua pihak.
Menyedari bahawa isu kos sara hidup, langkah yang diambil oleh kerajaan dalam bajet kali ini agak berbeza dengan bajet sebelumnya. Kita tidak boleh lagi melihat ke belakang untuk mengurus dan berdepan dengan cabaran masa hadapan yang lebih kompleks dan tidak menentu. Kerangka pemikiran yang lebih luas dan konkrit serta menuntut pemikiran rasional yang mengambil kira pelbagai aspek ekonomi, teknologi dan keadaan geopolitik perlu diambil kira dalam membuat sesuatu pertimbangan.
INISIATIF SUBSIDI BERSASAR
Keyakinan kerajaan terutama dalam melindungi rakyat yang menjadi mangsa manipulasi harga akibat monopoli dan kartel dalam sektor-sektor makanan, perumahan dan pengangkutan perlu ditangani dengan lebih bijak dan dinamik. Salah satu aspek yang akan menentukan kawalan harga yang lebih stabil dan seimbang adalah melalui inisiatif-inisiatif subsidi bersasar yang akan menjadi cabaran kepada pihak kerajaan dalam memastikan usaha ini benar-benar memberi manfaat terutamanya mereka yang berada dalam kelompok berpendapatan rendah dan sederhana.
Seperti mana yang dijelaskan tadi, minda baharu perlu dibentuk dan langkah ini hanya boleh dijelmakan dengan memastikan sistem penyampaian maklumat benar-benar difahami dan diyakini rakyat.
Antaranya adalah pengenalan cukai dividen bagi individu yang memperoleh pendapatan dividen melebihi RM100,000 setahun. Cukai ini dikenakan pada kadar dua peratus, namun terdapat pengecualian bagi dividen luar negara dan dividen yang dibayar oleh syarikat yang mempunyai insentif cukai tertentu.
Langkah ini diambil bagi memastikan golongan kaya menyumbang kepada kesejahteraan negara tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah. Hasil daripada cukai ini akan digunakan untuk membiayai program pembangunan sosial dan ekonomi yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia. Ini menjadi landskap baharu bagi masyarakat kita dan model ini sebagai lembaran terkini yang akan memberikan satu manifestasi keadilan dan kesejahteraan bersama. Golongan kaya turut sama akan memikirkan bagaimana langkah ini perlu digemblengkan dan akhirnya aspek insaniah dan kesyukuran yang ingin dijelmakan oleh kerajaan dapat direalisasikan.
Dalam setiap pembentangan bajet, golongan B40 tidak pernah dilupakan dan diabaikan, Belanjawan 2025 memperuntukkan pelbagai bantuan kewangan dan sokongan sosial yang signifikan untuk membantu golongan berpendapatan rendah, terutamanya kumpulan B40, yang terus menghadapi cabaran besar akibat peningkatan kos sara hidup.
Jaringan keselamatan sosial dan ekonomi kumpulan ini sentiasa menjadi fokus utama kerajaan. Penambahan tunai dalam Bantuan Tunai Rahmah setiap tahun membuktikan kedudukan kewangan negara semakin pulih setelah diasak oleh pandemik Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi. Bantuan ini sedikit sebanyak akan mengurangkan beban kewangan dan meringan usaha mereka dalam berdepan kelangsungan hidup.
Dalam masa yang sama, pelbagai inisiatif lain turut akan dilaksanakan dalam memperkasakan kumpulan ini. Kemampanan dan daya cipta kumpulan ini perlu dilonjakkan melalui inisiatif-inisiatif di bawah pelbagai agensi sama ada di peringkat persekutuan dan negeri.
KEBERSAMAAN PENDIDIKAN
Mungkin langkah terkini kerajaan dalam memastikan jurang pendidikan dapat ditutup di antara golongan kaya dan golongan miskin boleh direalisasikan bersama. Aspek pendidikan sama ada di peringkat rendah, menengah dan tinggi sentiasa menjadi keutamaan kerajaan. Hasrat kerajaan untuk memastikan jurang pendidikan yang wujud disebabkan oleh kekangan kewangan dapat dikurangkan melalui usaha penambahan biasiswa dan bantuan.
Kewangan dapat dilonjakkan menerusi tingkat pendapatan yang berbeza. Keadilan pendidikan penting bagi mencelikkan golongan atasan bahawa dari segi aspek kemampuan, kita perlu memfokuskan kepada golongan bawahan yang memerlukan. Ini menjadi satu keunikan dan keistimewaan yang akan diwarisi generasi demi generasi melalui sifat kebersamaan dan kesejahteraan sosial. Diharapkan usaha ini tidak menimbulkan kegusaran dan kegelisahan sehinggakan ada suara-suara yang menolak usaha ini secara diam-diam.
Inisiatif lain yang penting dalam Belanjawan 2025 ialah peningkatan akses kepada perkhidmatan kesihatan, yang merupakan aspek kritikal bagi golongan B40 mendapatkan rawatan berkualiti. Kekangan kewangan menjadi penghalang utama mereka untuk mengakses rawatan komprehensif dan berterusan, terutamanya dalam menangani penyakit kronik atau mendapatkan rawatan di fasiliti swasta yang menawarkan perkhidmatan lebih pantas.
Menyedari hakikat ini, Belanjawan 2025 memperkenalkan pelbagai langkah untuk memastikan semua rakyat Malaysia, khususnya golongan B40, mempunyai akses kepada rawatan kesihatan yang mampu milik dan berkualiti.
Keseluruhannya, Belanjawan 2025 mencerminkan keprihatinan kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia melalui prinsip Ekonomi MADANI, yang menekankan kesejahteraan, kemampanan dan inklusiviti. Bajet ini bukan sekadar sebuah rancangan kewangan tetapi satu usaha holistik untuk membina masa depan yang lebih makmur dan sejahtera bagi negara juga rakyatnya. Dengan komitmen ini, kerajaan menzahirkan harapan bahawa setiap lapisan masyarakat dapat merasakan impak positif daripada langkah-langkah yang telah direncanakan.
Rencana ini berdasarkan pandangan Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam, Profesor Madya Dr Suhaimee Saahar @ Saabar.