Berita

Belanjawan 2025

- Diterbit 18 Oktober 2024 12:12 PM MYT

PERTUMBUHAN penyertaan penggiat gig meningkat lebih pantas sebanyak 6.5 peratus berbanding penyertaan dalam sektor formal sebanyak 2.4 peratus pada tahun 2023. Sehingga Disember 2023, jumlah penggiat gig mencecah tiga juta orang.

Ekonomi gig membuka ruang dan peluang kepada pelbagai golongan bagi mereka menjana pendapatan sendiri termasuklah golongan berpendapatan rendah dan golongan rentan.

Bahkan, aktiviti ekonomi gig meliputi golongan berkemahiran tinggi, separa mahir dan kurang mahir. Misalnya, penggiat gig sebagai penyunting artikel memerlukan golongan berkemahiran tinggi. Begitu juga penggiat gig melakukan kerja rutin boleh disertai oleh golongan berkemahiran rendah.

Wilayahku meninjau pandangan pekerja gig terkait harapan terhadap Belanjawan 2025. Ikuti apa kata mereka.

—–

“SAYA harap belanjawan kali ini kerajaan memberi fokus terhadap akaun KWSP melalui i-Saraan. Mungkin boleh menaikkan insentif khas sebanyak 15 peratus (%) kepada 20% misalnya.

Turut diharapkan insentif caruman pemula one-off RM1,000 daripada kerajaan sebagai galakan selain had insentif seumur hidup dinaikkan.”

KHAIRUNNISA MA’AT
Pelukis grafik

 

 

“SAYA amat berharap agar kerajaan mengkaji semula tambang untuk kenderaan e-hailing pada ketika ini agar berbaloi untuk kedua-dua belah pihak.

Hal itu belum lagi melibatkan e-hailing (kenderaan 4×4, lori, van) bagi perkhidmatan penghantaran barang yang menggunakan diesel. Diharapkan kerajaan mengkaji semula subsidi untuk pemandu memandangkan mereka melakukan perjalanan jauh lebih 200 kilometer (km) sehari.

Dalam masa sama, saya turut berterima kasih kepada kerajaan berusaha untuk memperkasakan ekonomi gig.”

NOR ASIKIN HASSAN
Pemandu e-hailing

—-

“SEBAGAI peniaga dan penggiat kraf tangan, saya berharap agar mendapat pengecualian cukai 10 peratus yang dikenakan pada barangan yang dibeli secara atas talian dari luar negara. Selain itu, selaku penggiat barangan kulit (leather), saya harap kerajaan memberi fokus yang lebih kepada program atau latihan kemahiran.

Dalam masa sama kerajaan perlu lebih agresif dalam memastikan produk-produk kraf tangan Malaysia dibawa ke pasaran antarabangsa dengan menyertai pameran-pameran yang sesuai.”

AUNULLAH ZAKWAN MOHAMED
Peniaga dalam talian

—-

“DIHARAPKAN dalam Belanjawan 2025 ini para pemandu e-hailing akan mendapat bantuan khas dari segi perlindungan diri, keselamatan dan kesihatan kerana pekerjaan kami ini terdedah dengan pelbagai risiko dan semoga golongan kami juga mendapat bantuan dari segi kos caj penyelengaraan kenderaan.

Selain itu, saya amat berharap agar kerajaan memberi perhatian kepada kami kerana ini merupakan sumber pendapatan tetap lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang sukar untuk mendapatkan pekerjaan.”

REMY REZA
Pemandu e-hailing

—-

“SEMOGA golongan pekerja bebas seperti saya ini akan dipandang oleh pihak kerajaan dalam pembentangan bajet yang akan datang di mana saya mengharapkan satu platform khas akan diwujudkan bagi memudahkan kami terutama yang baru ini mencari peluang pekerjaan bersesuaian dengan kebolehan.

Selain itu, mungkin kerajaan boleh menyediakan atau menawarkan ‘kit pemula’ mungkin dari segi peruntukan atau sebagainya buat mereka yang baru berjinak dalam dunia ini agar dapat membantu memudahkan perjalanan karier kami.

Jika kerajaan dapat meluluskan bantuan  kepada pemula, maka lebih mudah untuk golongan ini memulakan kerja kerana masalah kewangan merupakan halangan.”

ODINSON
Pekerja gig

—-

“KERAJAAN diharapkan untuk meneliti dan memperbaiki skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan kesejahteraan pekerja gig apabila mencapai umur persaraan.

Kerajaan perlu memperluaskan akses kepada skim perlindungan sosial yang komprehensif, seperti KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) secara sukarela atau wajib. Ini akan memberikan kami jaminan kewangan jangka panjang termasuk manfaat seperti insurans kemalangan, perubatan dan faedah hilang upaya.

Selain itu, saya juga ingin mencadangkan bantuan latihan dan peningkatan kemahiran; bantuan subsidi pembaharuan insurans dan cukai jalan; bantuan pinjaman penyelenggaraan kenderaan serta bantuan subsidi telefon bimbit dan pelan Internet.

Diharapkan Belanjawan 2025 dapat memperkenalkan peraturan yang lebih fleksibel, namun masih melindungi hak-hak pekerja. Ini termasuk memastikan majikan dalam ekonomi gig bertanggungjawab menyediakan manfaat asas kepada pekerja.

Saya menaruh keyakinan terhadap Kerajaan MADANI untuk membantu kebajikan penggiat industri gig di negara ini menerusi peruntukan yang sesuai dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober ini.”

HIDAYAT HAMIDON
Pemandu e-hailing

—-

“SAYA mencadangkan agar kerajaan mengekalkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso dalam Belanjawan 2025.

Sebelum ini, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif Skim Mobileprenuer Pinjaman Motosikal Tanpa Faedah kepada penghantar p-hailing melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional. Kami berharap inisiatif ini akan diteruskan.

Saya juga mengharapkan agar kerajaan memperluaskan lagi program upskilling dan reskilling (peningkatan kemahiran dan penggantian kemahiran) bagi membantu pekerja gig meningkatkan kemahiran serta membuka peluang pekerjaan yang lebih baik.”

MUHAMMAD HAZIQ FAWWAZ MD HARRIS
Penunggang p-hailing

—-

“KERAJAAN perlu membantu menubuhkan Koperasi Pekerja Gig di mana kemudahan asas seperti pinjaman kenderaan, kebajikan dan pembelaan ke atas sektor ini dapat disalurkan secara rasmi oleh kerajaan.

Kelompok besar anak muda dalam ekonomi ini boleh dijadikan sebagai ruang memberdayakan ‘social mobility’ dengan memberi peluang kepada mereka melanjutkan pelajaran melalui biasiswa khas.

Sekurang-kurangnya dengan bantuan yang disalurkan mempu membawa pulangan yang besar kepada negara pada masa hadapan.”

MUHAMMAD RAIHAN JUMALI
Penunggang p-hailing

—-

“BELANJAWAN 2025 diharap terus menyediakan sokongan yang kuat kepada ekonomi gig dengan dasar mesra perniagaan dan menawarkan inisiatif peningkatan kemahiran melalui Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Kami berharap agar inisiatif seperti TVET akan membantu pekerja gig meningkatkan kemahiran mereka dan menghadapi masa depan yang lebih cerah.

Dalam keadaan ekonomi hari ini, tidak dinafikan kemahiran merupakan salah satu bidang yang dapat memberi pulangan gaji yang lumayan.”

AZIZI ATHMAN
Penunggang p-hailing

—-

“KERAJAAN diharap dapat mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bagi memastikan penyusunan dan pengawalseliaan ekosistem industri gig dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Inisiatif ini penting untuk menjamin masa depan golongan yang terlibat dalam industri gig seperti pemandu e-hailing, penghantar p-hailing serta mereka yang bekerja sendiri.

Kita berdepan dengan kelemahan perundangan sedia ada khususnya dari segi penguatkuasaan, jaminan keselamatan, kebajikan, pendapatan dan masa depan pemandu e-hailing, penghantar p-hailing serta pekerja bebas.

Penubuhan SEGiM akan membolehkan kerajaan menangani isu lambakan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) dan p-hailing (PHO) yang menyebabkan persaingan tidak sihat sekali gus menjejaskan pendapatan pemandu dan penghantar yang terlibat.”

MUHAMMAD IRFAN MOHAMMAD AZAM
Penunggang p-hailing

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas