Berita

Belanjawan 2024 DBKL fokus tiga aspek penting

ZALIHA (lima dari kanan) ketika sesi taklimat berhubung pengurusan termasuk bajet 2024 DBKL di Menara 1 DBKL, hari ini.
- Diterbit 19 Disember 2023 8:03 PM MYT

BELANJAWAN 2024 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memfokuskan isu-isu pembangunan, sosioekonomi, kelestarian dan kemiskinan bandar selari dengan konsep kerajaan Madani.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata bidang tugas penting yang digalas oleh DBKL adalah memastikan program-program berkenaan berjalan secara terancang selaras dengan apa yang digariskan kerajaan Madani.

ZALIHA (tengah) mengadakan lawatan dan mendengar sesi taklimat oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.

“Saya juga berharap agar DBKL akan sentiasa menjalankan tanggungjawab yang diberi dan mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang sedia ada untuk masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Sesi Taklimat bersama DBKL di Menara DBKL 1, hari ini.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata ketika sesi taklimat berkenaan, wujudnya defisit dalam belanjawan 2024 dan akan memberi penekanan untuk meningkatkan hasil bagi mengatasi defisit tersebut.

Terdahulu, sesi pembentangan belanjawan DBKL 2024 akan berlangsung esok (20 Disember) di Menara DBKL 1.

Dalam pada itu, ditanya mengenai hala tuju struktur portfolio yang dipegangnya, Zaliha berkata beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukan hala tuju berkenaan.

“Sudah tentu kalau ada kementerian, fungsinya agak besar tetapi saya menyerahkan kepada PM untuk menentukam hala tuju kehadapan, apa-apa pun tanggungjawab yang diberi mesti dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas