Berita

Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara ditahan reman

- Diterbit 15 April 2025 6:06 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman bekas Timbalan Speaker Dewan Negara kerana disyaki menerima rasuah empat unit kenderaan mewah melibatkan kerja-kerja penambakan laut di kawasan perairan Kota Laksamana di Melaka.

Perintah reman selama enam hari sehingga 20 April terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek yang berjawatan sebagai pengarah urusan sebuah syarikat dipercayai menerima rasuah melibatkan empat unit kenderaan mewah selain wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah kira-kira RM300,000 daripada seorang pemilik syarikat bergelar Datuk.

“Suspek disyaki menerima rasuah berkenaan sekitar 2021 hingga 2023 sebagai balasan kerana memberikan kerja-kerja menambak laut seluas kira-kira 100 ekar kepada syarikat milik individu bergelar Datuk terbabit.

“Susulan itu, suspek bersama individu bergelar Datuk berkenaan telah ditahan sekitar pukul 4.30 hingga 5 petang semalam ketika hadir di Pejabat SPRM Melaka bagi dirakamkan keterangan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kedua-dua suspek.

Beliau berkata, suspek kedua bergelar Datuk bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM sebaik sahaja keterangannya selesai dirakam.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas