SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas jurugambar kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM48,000 daripada seorang individu bergelar Datuk Seri.
Ia didakwa sebagai dorongan untuk mendapatkan satu gelaran Datuk Seri daripada kerajaan negeri.
Perintah reman selama lima hari sehingga 14 Oktober ini terhadap suspek, berusia lingkungan 40-an, dikeluarkan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh pagi tadi.
Menurut sumber, suspek telah ditahan kira-kira pukul 3.30 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.
“Siasatan awal mendapati, suspek melakukan kesalahan tersebut pada 2022 hingga 2023 semasa bertugas sebagai Pegawai Media bagi sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
“Suspek telah meminta rasuah daripada seorang individu bergelar Datuk Seri sebagai dorongan untuk mendapatkan satu gelaran Darjah Kebesaran Datuk Seri bersempena Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka 2023,” katanya.
Sementara itu Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
caption:
SEORANG wanita direman lima hari kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM48,000 daripada seorang individu bergelar Datuk Seri.