BEKALAN gas di beberapa kawasan di zon tengah Semenanjung dilaporkan terganggu susulan insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini.
Menurut Suruhanjaya Tenaga (ST), ia melibatkan Shah Alam, Klang, Serdang, Puchong, Batu Tiga dan Kapar serta di beberapa kawasan di zon utara.
Jelasnya, pengguna yang terkesan telah mula menerima notis sekatan daripada pembekal masing-masing sehingga 20 April ini.
“Bekalan gas masih ada dalam kuantiti yang terhad dan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan kritikal seperti hospital dan penjanaan elektrikserta keperluan untuk menstabilkan tekanan paip gas,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
ST memberitahu, insiden tersebut turut menyebabkan berlakunya gangguan bekalan gas kepada empat stesen janakuasa utama yang berada di Lembah Klang iaitu Stesen Janakuasa (SJ) Connaught Bridge, SJ Pulau Indah, SJ Sultan Salahuddin Abdul Aziz (KEV) dan SJ Putrajaya.
Walau bagaimanapun jelasnya, bekalan elektrik di Semenanjung dalam keadaan stabil dengan beberapa langkah mitigasi telah dan akan diambil.
“Antaranya pengoperasian secara optimum stesen-stesen janakuasa sedia ada termasuk penjanaan berasaskan arang batu.
“Selain itu ialah kesiapsediaan (standby) pengoperasian stesen janakuasa yang terkesan menggunakan distillate fuel dan MFO.
“Kita juga melakukan pemantauan permintaan dan perancangan penjanaan (power dispatch) yang lebih terperinci merangkumi pelbagai senario risiko,” katanya.
Tambahnya, langkah-langkah mitigasi interim sedang diteliti secara berterusan dan akan menganjurkan sesi libat urus dengan pengguna-pengguna yang terjejas dalam tempoh terdekat ini.
Dalam pada itu ST memaklumkan, insiden letupan paip gas ini merupakan insiden terpencil di Semenanjung.
Oleh itu ST menyeru pihak-pihak yang terlibat untuk terus bekerjasama dan semua pengguna sentiasa mengutamakan keselamatan serta memastikan penggunaan tenaga secara berhemah agar dapat menangani impak secara kolektif bagi kesejahteraan bersama. – WILAYAHKU