Berita

Bekalan elektrik di Labuan agenda utama kerajaan – Zaliha

Foto: Facebook Dr Zaliha Mustafa
- Diterbit 12 Ogos 2024 12:51 PM MYT

KERAJAAN memberi jaminan isu gangguan bekalan elektrik di Labuan dapat diselesaikan dengan kerjasama pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata ini selaras dengan agenda utama Kerajaan Madani untuk mengutamakan bekalan elektrik di Labuan.

Menurut Zaliha lagi, hari ini beliau duduk semeja dan berbincang dengan pihak TNB dan SESB untuk mendapat gambaran keseluruhan bekalan elektrik di Labuan.

Katanya, perbincangan itu juga untuk melihat potensi jalinan kerjasama strategik antara TNB, SESB dan Perbadanan Labuan dalam merealisasikan pulau bebas cukai ini sebagai pulau SMART (Sustainable, Modern, Accesibility, Remarkable dan Transparency).

“Saya dimaklumkan bahawa pengagihan tahunan Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) adalah pada kadar membaik dan ‘load shedding’ juga semakin memulih berbanding tahun lalu. Dengan indikator ini, gangguan bekalan elektrik di Labuan adalah dalam keadaan semakin terkawal.

“Tetapi masih memerlukan perhatian. Ini juga dibuktikan melalui penurunan kes aduan rakyat terhadap gangguan bekalan elektrik jika dibandingkan dengan tahun lalu.

“Antara perbincangan kami juga turut terkait dengan inisiatif Labuan SMART Island. InsyaAllah, dengan terlaksananya Labuan SMART Island ini nanti, prestasi SAIDI dapat diturunkan daripada 94% pada ketika ini kepada 50% menjelang tahun 2027,”katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Dalam pada itu, Zaliha turut mengadakan lawatan ke Hospital Labuan untuk melihat sendiri pengendalian serta pengoperasian hospital tersebut.

Turut menghadiri taklimat itu Pengarah Hospital Labuan, Dr Adnan Musa Balidran.
Beliau berkata lawatan itu mengenai perbincangan berkenaan latar belakang serta modus operandi hospital.

“Hospital Labuan yang beroperasi sejak tahun 1995 ini menempatkan 685 staf perubatan dan menyediakan 12 perkhidmatan kepakaran.

“Mengagumkan sekali apabila saya dimaklumkan bahawa kebergantungan Hospital Labuan terhadap Hospital Kota Kinabalu di Sabah berada di tahap 10% sahaja yang melibatkan kes-kes yang serius dan memerlukan pakar,” katanya.

Zaliha berkata setelah berbincang dengan pihak hospital, beliau telah meminta Jabatan Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan untuk menguar-uarkan perkhidmatan rawatan yang disediakan hospital kepada orang ramai, khususnya warga Labuan.

“Insya-Allah, saya juga dimaklumkan bahawa Hospital Labuan juga buat julung kalinya akan mempunyai Pusat Farmasi Steril tersendiri yang akan menghasilkan ubat kemoterapi.

“Dijangka beroperasi sepenuhnya pada 15 Ogos 2024 nanti. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Hospital Labuan atas inisiatif yang semestinya memanfaatkan warga Labuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas