PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan tradisi menggunakan beg tenunan songket bagi membawa dokumen penting Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan esok di Dewan Rakyat.
Selain tenunan songket di bahagian luar, beg ini turut menerapkan kombinasi material sari pada lapisan dalam.
Pagi tadi, beliau sempat meninjau persiapan terakhir Belanjawan 2025 di Kompleks Kementerian Kewangan (MOF) Putrajaya dan turut menandatangani dokumen Belanjawan 2025.
Tahun lalu Anwar turut menggunakan beg bercorak batik yang dihasilkan pereka tempatan, Batik Boutique.
“Alhamdulillah, pada detik-detik terakhir pembentangan Belanjawan MADANI Ketiga 2025 esok, kesiapsiagaan pasukan belanjawan dan warga Kementerian Kewangan nampak begitu rapi sewaktu saya membuat tinjauan di pejabat Kementerian Kewangan pagi ini.
“Biarpun sibuk merangka Belanjawan yang terangkum dan penuh teliti ini, saya gembira melihat keterujaan Pasukan Belanjawan,” katanya.
Anwar turut meluangkan waktu mengambil gambar serta menandatangani dokumen Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok.
“Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada warga kerajaan serta semua pihak terlibat yang memerah keringat dan memberi cadangan bernas untuk menjayakan Belanjawan 2025.
“Insya-Allah, Belanjawan ini akan memacu lagi pertumbuhan ekonomi dan memberi keadilan kepada rakyat terbanyak,” katanya. – WILAYAHKU