PELAKON Beego, 45, mengaku tidak menerima sebarang notis berhubung prosiding sebutan pertama kes perceraian bersama isteri, Linda Hashim, 41.
Menerusi hantaran di Instagram (IG) hari ini, Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah mengakui terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan Linda sewaktu sesi soal jawab bersama media pada pagi Khamis.
“Salam semua, terkejut pagi tadi mendengar kenyataan isteri saya (telah) dimaklumkan tentang kes mahkamah.
“Tidak ada pemberitahuan dan notis dari pihak guaman Nurul (peguam syarie yang mewakili isterinya).
“Ada mana-mana peguam yang boleh mewakili saya? Allahuakhbar,” tulisnya.
Terdahulu, Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim dilihat hadir bersendirian ke perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Khamis.
Linda mendakwa sudah pun menghantar notis mahkamah kepada Beego selepas memfailkan cerai pada awal Januari lalu.
Walaubagaimanapun, sebutan pertama kes perceraian pasangan ini ditangguhkan pada 6 Mac depan susulan Beego tidak hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Peguam mewakili Linda iaitu Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata, penangguhan itu berikutan pihak mahkamah tidak dapat menyerahkan notis tuntutan kehadiran kepada Beego kerana dokumen tidak sempurna.
Untuk info, Linda disahkan memfailkan cerai terhadap suaminya itu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas alasan sudah tiada persefahaman.
Sebelumnya, Linda dan Beego hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Mei 2023 bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak selepas mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac 2023.
Untuk rekod, Linda dan Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu tiga orang cahaya mata Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. – WILAYAHKU