MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan Jemaah Menteri telah berbincang tentang agihan atau pindahan agensi-agensi ke kementerian.
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) masih kekal di bawah kementerian beliau.
Tambah Fahmi, Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Digital Nasional Berhad (DNB), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Cybersecurity Malaysia akan dipindahkan ke dipindahkan ke Kementerian Digital yang diterajui Gobind Deo Singh.
“Sebelum ini, Cybersecurity dimaklumkan diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) tetapi Perdana Menteri telah setuju aspek korporat kerja-kerja berkaitan syarikat swasta boleh diteruskan dan sesuai diletakkan di bawah Kementerian Digital.
“Cuma perlu ada sedikit penjenamaan agar tidak perlu salah faham aspek keselamatan siber,” katanya pada sidang media Pasca Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Sementara itu, Fahmi yang juga merupakan Jurucakap Kerajaan memberitahu, MIMOS Berhad yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri akan kembali kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Walau bagaimanapun, fungsi ID digital MIMOS akan kekal di bawah Jabatan Perdana Menteri, sebaik sahaja ia dibangunkan sepenuhnya pada bulan Mac nanti, ia kemudiannya akan diterajui oleh Kementerian Digital,” ujarnya. – WILAYAHKU