EMPAT projek pembaikan membabitkan infrastruktur bekalan air di Labuan yang menelan belanja RM111 juta dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini dan pertengahan tahun hadapan.
Menurut Pengarah Jabatan Bahagian Bekalan Air (BBAL) Labuan, Trinil Indah Puspita Herry Sunjoto, projek yang melibatkan penggantian paip sepanjang 42 kilometer (km) tersebut masih dalam peringkat kerja-kerja pembinaan.
“Antara yang sedang dilaksanakan ialah penggantian paip pam di kawasan industri Pulau Enoe yang telah diperuntukkan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-120).
“Pelaksanaan kerja-kerja penggantian di Pulau Enoe dan paip fasa satu dan dua itu penting kerana ia merupakan komponen paip utama membekalkan air bersih dari Loji Rawatan Air Lawa Gadong, Beaufort, Sabah ke Labuan.
“Fokus utama diberikan kepada kerja-kerja penggantian sistem pengepaman, pembaikan kelengkapan mekanikal dan elektrikal serta penggantian paip usang. Program Air Tidak Terhasil (NRW) secara holistik fasa satu, peningkatan kapasiti simpanan air serta takungan air mentah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Bertemu Pelanggan Bersama Bahagian Bekalan Air Labuan baru-baru ini.
Selain itu, empat lagi projek task force jangka pendek bernilai RM25 juta dan satu projek one-off bernilai RM2.5 juta turut dalam fasa pembinaan.
Dalam masa sama, enam projek kini dalam peringkat prapelaksanaan yang berjumlah RM205 juta bagi mengatasi masalah paip usang yang sering pecah.
“Program NRW pula melibatkan penggantian paip usang sepanjang 130km dijangka bermula tahun hadapan sehingga 2030 melalui pembayaran geran.
“Justeru, kesemua pelaksanaan projek pembangunan akan menyebabkan beberapa siri penutupan bekalan air terpaksa dibuat oleh pihak BBA Labuan.
“Gangguan bekalan air sementara adalah salah satu proses yang tidak dapat dielakkan dan akan dihadapi oleh penduduk di pulau ini dalam tempoh pelaksanaan projek yang kini sedang giat dilaksanakan.
“Pihak BBAL sentiasa komited untuk memastikan bekalan air ini dapat disalurkan kepada penduduk dan menghargai cadangan dan pendapat daripada pelbagai pihak yang telah diberikan kepada BBAL untuk mengatasi isu ini,” katanya.
Terdahulu, menerusi Belanjawan 2024, Kerajaan MADANI telah memperuntukkan sejumlah RM300 juta bagi menaik taraf dan pembinaan infrastruktur paip bekalan air di Labuan. – WILAYAHKU