PELAKON Hisyam Hamid, 38, mengaku tidak mudah melanggar prinsip hidupnya sebagai pelakon andai diberi tawaran istimewa atau bayaran lumayan untuk melakonkan babak soft porn atau lucah ringan.
Bagi Hisyam, setiap pelakon mempunyai alasan tersendiri untuk melakonkan adegan tersebut.
“Menyentuh soal soft porn ini, setiap pelakon ada pandangan masing-masing. Saya tak boleh nak menilai orang lain kerana mereka lebih tahu apa yang terbaik buat diri masing-masing.
“Cuma apabila ditanya, saya sendiri tidak selesa melakonkan adegan tersebut meskipun menggunakan teknik kamera dan ditawarkan bayaran lumayan. Ada sesetengah babak memerlukan adegan merogol. Saya takkan ambil. Bagi saya, perkara ini sangat sensitif. Tak tahu kenapa saya jadi kurang selesa dengan perkara itu apatah lagi hendak melakonkannya.
“Saya tak risau pasal kecaman disebabkan bawa watak-watak tertentu. Itu perkara biasa. Cuma hendak melakonkan watak merogol tu, walaupun ia tidak secara terus, saya tak boleh lakonkannya.
“Saya elak watak-watak sensitif kerana itu adalah kehendak saya sendiri. Dalam masa yang sama, saya ada keluarga. Apa yang saya nak lakukan kena fikir mereka kerana saya juga menjadi contoh,” katanya.
Hisyam juga berkongsi pengalaman pernah ditawarkan watak ustaz homoseksual.
“Saya tak nafikan memang ada tawaran misalnya membawakan watak ustaz yang mengamalkan hubungan homoseksual. Mungkin adegan yang sensitif diambil posisi dari belakang, saya tak boleh. Bayangkan Kalau anak-anak saya tengok. Saya lebih memilih menjaga hati mereka.
“Setakat ini anak tak pernah tanya pasal watak yang saya bawa. Cuma saya perlu jaga agar semuanya terkawal.
“Biasanya kalau saya dapat tawaran, bayaran adalah perkara terakhir yang akan saya tanya. Perkara pertama yang saya tanya adalah watak dan jalan ceritanya. Perkara kedua adalah jadual sama ada available atau tidak.
“Andai kata ditawarkan bayaran lumayan sekalipun, saya tak bolehlah. Bila dah berlakon atau balik dari shooting, saya nak balik tidur dengan tenang,” luahnya. – WILAYAHKU