Berita

Bawa Mr.E jumpa ibu… “Tiada benda yang perlu disembunyikan” – Erra Fazira

- Diterbit 8 April 2025 7:32 AM MYT

SEMAKIN matang menjalani hubungan percintaan dengan Mr.E atau nama sebenarnya Ezwan Zain, selebriti popular Erra Fazira akui lebih tenang dan bijak mengawal situasi di sekeliling.

Menurut pelakon filem Sembilu dan Polis Evo 2 ini, beliau lebih selesa bercinta tanpa menyembunyikan hubungan tersebut dari pengetahuan masyarakat.

“Saya lebih matang dan tiada benda yang perlu disembunyikan. Kalau dulu nak keluar ‘dating’ mesti akan pergi tempat yang privasi dan perlu ada yang teman. Macam-macam saya fikir termasuk nak jaga hati orang lain.

“Namun sekarang, saya mahu melalui fasa yang normal macam orang lain. Malah, ketika pertama kali berjumpa dengan dia, kami pergi makan di sebuah kedai di Kampung Baru. Tempat yang padat dengan orang,” katanya.

Erra berkongsi perkara itu menerusi saluran podcast Syok yang dikendalikan oleh Sudirman Mohd Tahir di YouTube.

Hampir sembilan bulan berkenalan, Erra akui sudah bawa Mr. E berjumpa dengan ibunya.

“Fasa itu (berjumpa mak) sudah lepas, dia sudah mengenali keluarga terdekat saya dan begitu juga dia. Kami tidak ‘rushing’, mahu terus mengenali hati budi dan keserasian masing-masing.

“Kami berkenalan pada Ogos tahun lalu, nak bercakap lebih pun takut sebab masih di fasa manis. Jika matlamat yang ingin dicapai itu dipermudahkan, saya syukur dan jika sebaliknya, saya berserah,” ujarnya yang memohon peminat mendoakan yang terbaik buat dirinya. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas