Berita

Bawa masuk rakyat Palestin sebagai survival politik kerajaan: Itu tidak benar

Foto: BERNAMA
- Diterbit 22 Oktober 2024 2:16 PM MYT

PANDANGAN ekstrem yang mempertikai usaha kerajaan dengan mengatakan tindakan membawa masuk rakyat Palestin ke Malaysia bagi tujuan survival politik adalah tidak benar.

Perkara itu ditegaskan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, ini kerana kerajaan sentiasa mengambil berat keadaan rakyat Palestin yang ditindas sejak berdekad lamanya.

“Kerajaan mengecam tindakan keganasan oleh Israel Defence Force (IDF) ke atas rakyat Palestin khususnya di Gaza sejak 7 Oktober 2023 di mana peperangan ini menyebabkan 96,625 orang cedera dan 41,689 orang awam terkorban dengan 70 peratus daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak.

“Atas dasar kemanusiaan dan solidariti, kerajaan mengambil inisiatif membantu sebilangan rakyat Palestin yang menjadi mangsa perang untuk diberikan rawatan, pembedahan dan pemulihan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai pendirian terhadap sentimen ekstrem yang mempertikai usaha kerajaan itu sebagai survival politik.

Mohamed Khaled berkata, misi bantuan kemanusiaan itu dilaksanakan ekoran kelumpuhan sistem kesihatan di Gaza akibat serangan IDF yang berterusan.

Oleh yang demikian katanya, kerajaan berpandangan bahawa misi bantuan kemanusiaan ke atas rakyat Palestin ini merupakan usaha murni yang wajar disokong oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan fahaman agama, kaum dan politik.

Mengenai perkembangan terkini rawatan dan pemulihan rakyat Palestin yang dibawa masuk bagi tujuan perubatan itu, katanya, sejak 16 Ogos lalu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah membawa 41 orang pesakit rakyat Palestin bersama 86 waris ke negara ini menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Katanya, kesemua pesakit yang dibawa telah diberikan rawatan oleh doktor-doktor pakar dan staf-staf perubatan ATM di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan yang membabitkan bahagian ortopedik, pediatrik, obstektrik dan ginekologi.

“Sehingga 6 Oktober lalu, kesemua pesakit telah menerima rawatan yang sewajarnya dan 37 orang pesakit dibenarkan keluar wad dan berbaki empat orang pesakit yang masih lagi dalam rawatan,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas