TINDAKAN tegas akan diambil terhadap mana-mana agensi pelancongan yang terlibat dalam penyalahgunaan visa pelancong dan visa umrah untuk tujuan ibadah haji.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan dengan teliti dan memahami insiden ini, tidak kira ia berita palsu atau berita sahih.
“Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan ini, lesen pelancongan mereka akan dibatalkan serta-merta.
“Beliau telah mengamanahkan pihak Tourism Malaysia yang berdekatan untuk menyiasat insiden ini dan MOTAC sedang menunggu laporan penuh daripada mereka, sekiranya diperlukan, pihak Kementerian akan menghantar pegawai dari ibu pejabat untuk turun padang,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata MOTAC akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap agensi pelancongan yang dilesenkan oleh Kementerian ini jika terbukti terlibat dalam penyalahgunaan visa pelancong dan visa umrah untuk tujuan ibadah haji.
“Kementerian memandang serius perkara ini kerana melibatkan kepentingan dan keselamatan jemaah, selain menghalang berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini dan secara tidak langsung, menjaga hubungan baik yang telah terjalin antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.
“Insiden ini telah berulang kali terjadi dan rakyat kita yang sering menjadi mangsa. Saya telah menegaskan perkara ini beberapa kali sebelum ini tetapi mungkin ada sesetengah pihak yang memandang remeh perkara ini dan tidak percaya Kementerian akan mengambil tindakan tegas atas kesalahan yang dilakukan,” ujarnya.
Tambah beliau, insiden ini amatlah dikesali kerana pada tahun 2023, MOTAC telah mengeluarkan kenyataan berhubung larangan penggunaan visa pelancong dan umrah bagi tujuan menunaikan ibadah haji.
“Peringatan ini diuar-uarkan bagi memastikan tiada jemaah umrah yang mengambil kesempatan untuk tinggal lebih masa (overstay) sehingga masuk ke musim haji. Tindakan ini merupakan satu kesalahan di bawah peraturan Kerajaan Arab Saudi iaitu menunaikan ibadah haji tanpa mempunyai permit yang sah.
“Kerajaan Arab Saudi hanya mengiktiraf permit haji yang dikeluarkan oleh institusi bertauliah bagi setiap negara seperti Lembaga Tabung Haji (TH),” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan perkara ini tidak melibatkan sebarang sentimen pilih kasih atau diskriminasi pada mana-mana kaum.
“Saya amat menghormati semua kaum dengan sama rata dan adil serta tidak wujud sebarang unsur prejudis daripada mana-mana pihak.
“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab, saya amat menghormati semua individu atau mana-mana pihak tanpa mengira kaum atau latar belakang yang berbeza. Namun, mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, tindakan tegas akan diambil secara adil,” katanya.
Beliau juga menasihatkan para jemaah yang terkandas untuk membuat laporan kepada TH dan pihak kedutaan Malaysia di Jeddah, Arab Saudi bagi mendapatkan khidmat bantuan dan nasihat seperti yang telah dinyatakan oleh pihak TH.
“Saya berharap kita dapat saling memahami dalam perihal umrah dan haji ini, ianya peluang untuk beribadat yang amat berharga bagi umat Islam, mungkin peluang yang hanya datang sekali sahaja dalam seumur hidup mereka bagi keluarga sederhana.
“Saya berharap mana-mana syarikat agensi pengurusan umrah dan haji, dapat memegang tanggungjawab dan menjalankan perniagaan dengan memberi tawaran perkhidmatan yang baik kepada rakyat. Peringatan tegas bagi semua, janganlah menyalahgunakan kuasa untuk menganiaya rakyat jelata,” tegasnya.
Terdahulu, kira-kira 300 bakal jemaah haji yang telah berada di Makkah terkandas apabila agensi yang menguruskan perjalanan mereka gagal mendapatkan kebenaran untuk mengerjakan haji pada musim ini.
Kejadian itu disedari selepas mereka mendapati pakej murah yang ditawarkan agensi terbabit menggunakan visa pelancong untuk menunaikan haji. – WILAYAHKU