Kuala Lumpur

Batal, gantung lesen peniaga di Jalan Silang jika sewa kepada warga asing 

Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 22 Disember 2023 4:01 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membatalkan atau menggantung sementara lesen peniaga di Jalan Silang jika didapati pemilik melanggar peraturan perniagaan dengan menyewakan premis kepada warga asing sehingga tindakan lanjut dikenakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata lesen yang diberikan kepada pemilik premis perlu digunakan sebaiknya dan tidak diberikan kepada warga asing untuk berniaga.

“Sepatutnya lesen yang diberikan kepada pemilik haruslah digunakan sebaik mungkin dan tidaklah diberikan kepada warga asing, saya yakin kalau betul-betul kita lihat lanjutan daripada itu memang diberikan kepada warga asing, tindakan tegas akan diambil.

“Saya ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai operasi tersebut, ia adalah antara tumpuan utama DBKL dalam membanteras kebanjiran dan lambakan peniaga warga asing yang terus menguasai lokasi perniagaan utama di ibu kota.,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kaseh Harapan Kak Wan Siri 3 di Flat Sri Johor hari ini.

Menurut Zaliha, pihaknya kini sedang menunggu maklumat menyeluruh daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah melaksanakan Operasi Bersepadu itu di Jalan Silang semalam.

Beliau turut berpandangan operasi tersebut wajar diteruskan dan dilaksanakan secara menyeluruh ke premis-premis lain.

Semalam, seramai 1,101 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi bersepadu secara besar-besaran terhadap 60 premis di sekitar Jalan Silang, Kuala Lumpur bermula pukul 11 pagi hingga tiga petang.

Serbuan tersebut dilaksanakan oleh seramai 1,138 anggota agensi penguatkuasaan antaranya Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Pasukan Simpanan Persekutuan, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan DBKL. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas