Berita

Bas penghubung komuniti Kajang, Bangi dan Putrajaya beroperasi

IA akan menghubungkan laluan Kajang dan Bangi dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya melalui beberapa hentian terhad di sepanjang laluan tersebut.
- Diterbit 7 Julai 2023 10:00 AM MYT

BERITA baik buat penduduk Kajang, Bangi dan sekitarnya apabila Rapid Bus Sdn Bhd mengumumkan perkhidmatan percubaan bagi bas Laluan 451 dari Stesen MRT Kajang ke MRT Putrajaya Sentral sudah mula beroperasi bermula 3 Julai hingga 30 September 2023.

Perkhidmatan yang beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat bermula pada pukul 6.30 hingga 8 pagi manakala pada waktu petang iaitu dari pukul 4.30 hingga 6 petang itu menghubungkan laluan Kajang dan Bangi dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya melalui beberapa hentian terhad di sepanjang laluan tersebut.

Hentian-hentian terhad yang akan dilalui adalah Hentian Kajang, Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi, Kompleks Parcel E (Barat), Kompleks Kerajaan Parcel D, Kementerian Kewangan, Istana Kehakiman (Utara), Perbadanan Putrajaya serta Galeria PjH.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Rapid Bus Sdn Bhd, Ku Jamil Zakaria, perkhidmatan percubaan ini adalah salah satu inisiatif pihaknya dalam menyediakan sistem rangkaian pengangkutan untuk menghubungkan lokasi-lokasi yang tidak diliputi oleh sistem pengangkutan rel.

“Sepanjang tempoh percubaan, kami akan mengkaji keberkesanan perkhidmatan bas sebagai penghubung jurang tersebut.

“Buat masa ini, tiada perkhidmatan pengangkutan awam lain yang menghubungkan orang ramai mahupun kakitangan kerajaan yang tinggal di Kajang dan Bangi untuk terus ke Putrajaya. Perkhidmatan percubaan ini juga adalah untuk mengenal pasti sama ada terdapat permintaan bagi laluan ini terutamanya buat mereka yang bekerja di kawasan Putrajaya,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Selain itu, Ku Jamil berkata penumpang di Stesen MRT Putrajaya Sentral mempunyai pilihan meneruskan perjalanan mereka dengan menggunakan perkhidmatan bas perantara MRT atau perkhidmatan bas Nadiputra untuk ke destinasi mereka yang terletak di kawasan Putrajaya.

“Bagi pengguna kenderaan persendirian, mereka boleh meletakkan kenderaan di kawasan parkir Stesen MRT Kajang atau kawasan parkir Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi sebelum meneruskan perjalanan dengan perkhidmatan bas ini.

“Penumpang juga boleh membayar tambang menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had My50, Kad Konsesi MyRapid dan kad Touch n’ Go,” jelas beliau tambang yang ditawarkan sebanyak RM1 untuk perjalanan sehala adalah berpatutan.

Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, para penumpang boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman sesawang di www.myrapid.com.my. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas